Pusher warga asing diberkas, syabu 50.75 gram dirampas

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga asing dipercayai pusher dadah ditahan bersama 50.75 gram syabu bernilai RM5,582.50 dalam serbuan Op Tapis di Kampung Sharip Simunul, Jalan Silam, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas suspek menemukan lapan paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki syabu dengan berat keseluruhan 50.75 gram.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM5,582.50.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulbaharin berkata, suspek kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah serta mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam rangkaian pengedaran berkenaan.

Katanya, polis akan terus mempergiat operasi membanteras kegiatan pengedaran dadah di daerah itu dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras jenayah berkenaan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!