KOTA KINABALU: Seramai 96 lagi warga asing ditahan dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah bersama agensi penguat kuasa lain di daerah Kota Kinabalu dan Tawau.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi bersepadu itu membabitkan Ops Kutip, Ops Sapu, Ops Selera dan Ops Mahir yang dilaksanakan bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta individu yang melanggar undang-undang imigresen negara.
Menurutnya, di Kota Kinabalu, operasi bersama Majlis Perbandaran Penampang membabitkan pemeriksaan terhadap 214 individu dengan 52 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
"Tangkapan itu membabitkan 16 lelaki dewasa, 20 wanita dewasa, 11 kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan warga Filipina.
"Kesemua mereka dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta melanggar syarat pas yang dibenarkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, di Tawau pula, operasi bersepadu bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Tawau memeriksa 120 individu dan menahan 44 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.
Katanya, tangkapan itu membabitkan 33 warga Filipina iaitu 31 lelaki dewasa dan dua wanita dewasa, manakala 11 lagi adalah warga Indonesia terdiri daripada enam lelaki dewasa dan lima wanita dewasa.
Sitti Saleha berkata, semua yang ditahan dibawa ke depot tahanan imigresen untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63.
"JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara," katanya.
