![]() |
| Jamawi (tiga dari kiri) bergambar kenangan di tapak penanaman hidrophonik SM Saint Anthony. |
TENOM: Program kebun sekolah yang bertujuan memupuk kesedaran mengenai keterjaminan makanan dan keusahawanan pertanian dalam kalangan pelajar dijangka diperluaskan secara besar-besaran di Sabah mulai tahun hadapan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada Jabatan Pendidikan Sabah bagi membolehkan lebih banyak sekolah melaksanakan program berkenaan melalui kerjasama strategik dengan kementeriannya.
Katanya, beberapa sekolah yang menawarkan mata pelajaran pertanian di peringkat Tingkatan Empat telah memulakan inisiatif tersebut, namun usaha berkenaan perlu diperluaskan ke sekolah lain termasuk yang tidak menawarkan subjek pertanian.
“Bagi sekolah yang tidak mempunyai subjek pertanian, kita berharap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat memainkan peranan lebih aktif membantu pihak sekolah melaksanakan projek kebun sekolah dan kementerian akan memberikan khidmat nasihat yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Guru di SM St Anthony, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi SM St Anthony Tenom, Samuel Stimin; Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Melalap, Denesly Justin serta pemimpin setempat.
Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, semua pegawai pertanian serta agensi di bawah kementeriannya telah diarahkan membantu sekolah yang berminat menjayakan projek kebun sekolah.
“Saya telah mengarahkan semua pegawai pertanian dan pegawai agensi di bawah kementerian untuk membantu sekolah-sekolah.
“Sekiranya pelaksanaan program ini berjalan dengan baik dan mendapat kerjasama semua pihak, kita akan gerakkan secara besar-besaran pada tahun hadapan,” jelasnya.
Menurutnya, fokus utama tahun ini adalah meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kepentingan sektor pertanian dalam menjamin bekalan makanan negara pada masa depan.
Beliau berkata, keterjaminan makanan perlu dipupuk sejak peringkat awal supaya pelajar memahami bahawa pertanian bukan sahaja berkaitan pengeluaran makanan, malah berpotensi menjadi sumber pendapatan dan bidang perniagaan yang menguntungkan.
“Keterjaminan makanan perlu bermula dari peringkat sekolah supaya anak-anak memahami bahawa pertanian adalah satu perniagaan yang penting dan berperanan membekalkan makanan kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Jamawi berkata kementeriannya terus menekankan pendekatan turun padang dengan nisbah 60 peratus kerja lapangan dan 40 peratus di pejabat bagi membolehkan pegawai melihat sendiri cabaran yang dihadapi masyarakat serta mencari penyelesaian yang lebih berkesan.
“Saya mahu memasyarakatkan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan kepada penduduk luar bandar kerana mereka adalah pengguna dan pengeluar utama hasil pertanian, perikanan dan makanan di negeri ini,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan kementerian sedang membuat persiapan untuk melancarkan platform digital kebundapur.com yang bertujuan membantu petani, penternak dan nelayan memasarkan hasil mereka secara terus kepada pengguna.
Katanya, platform itu dijangka dapat mengurangkan peranan orang tengah sekali gus meningkatkan pulangan kepada pengusaha sektor agromakanan di Sabah.
![]() |
| Jamawi (depan) menandatangani plak Mural Tenom Moonsoi Onsoi ambil disaksikan oleh ketua jurulukis, Shah rezza balaludin. |
Dalam acara berasingan, Jamawi turut merasmikan Mural Tenom Moonsoi Onsoi yang dihasilkan sekumpulan anak muda Tenom dalam tempoh 40 jam sebagai simbol kreativiti dan semangat komuniti daerah itu.

