Patah tulang, bantuan SYUKUR permudah Dulina teruskan rawatan hospital

Dulina ketika ditemui pemberita selepas menerima bantuan SYUKUR dari Ketua Menteri Sabah, di sini. 

TUARAN: Bantuan Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) menjadi talian hayat buat seorang warga emas yang tidak lagi mampu bekerja selepas menjalani pembedahan akibat patah tulang pinggang sebelah kiri, sekali gus membolehkannya meneruskan rawatan susulan di hospital.

Dulina Longkin, 64, berasal dari Kampung Lingga, Kiulu berkata bantuan yang diterimanya digunakan bagi menampung kos menghadiri temu janji rawatan di hospital memandangkan beliau kini bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan selepas tidak lagi berupaya mencari pendapatan sendiri.

“Masa mula-mula lepas kena bedah, saya kena datang ke hospital setiap tiga bulan. Tapi sekarang, saya datang ke hospital setiap enam bulan saja.

“Tulang saya patah dan tercabut, jadi doktor ganti dengan tulang palsu,” katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan berkenaan.

Menurut Dulina, masalah kesihatan itu dialaminya sejak Julai tahun lalu dan sejak itu beliau tidak lagi mampu bekerja seperti biasa.

“Saya sudah tidak mampu cari duit sendiri. Jadi saya sangat berbesar hati sebab dibantu dengan bantuan kewangan macam ini,” katanya ditemui pemberita selepas menerima bantuan SYUKUR, di sini, pada Selasa.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah atas keprihatinan kerajaan negeri membantu golongan yang memerlukan.

“Saya berterima kasih kepada Ketua Menteri sebab bagi bantuan ini,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi penerima bantuan SYUKUR berkata, bantuan ini banyak membantu keluarganya yang mempunyai dua anak berusia 13 dan lapan tahun yang masih bersekolah.

Heleney Emin, 42 tahun yang bekerja sebagai penoreh getah bersama suaminya berkata, bantuan itu akan digunakan untuk membeli barangan dapur, menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak serta keperluan harian keluarga.

“Sangat-sangat membantu untuk meringankan perbelanjaan harian, terutama belanja sekolah anak-anak saya dan barang dapur,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penerima lain, Moroh Biging, 56 tahun menyifatkan bantuan berkenaan amat bermakna buat golongan berpendapatan rendah meskipun nilainya mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak.

“Walaupun orang bilang RM600 itu banyak, bagi kamilah ia sangat bermakna,” katanya.

Moroh yang bekerja sebagai tukang jahit kasut itu berkata, pendapatannya tidak menentu kerana bergantung kepada kerja yang dilakukan, menyebabkan bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban perbelanjaan harian keluarganya.

Beliau yang pernah berdaftar dalam sistem e-Kasih sejak 2004 turut menzahirkan rasa syukur kerana akhirnya dapat menikmati bantuan yang disalurkan kerajaan.

“Kadang-kadang ada pendapatan, kadang-kadang tiada. Jadi bantuan ini sekurang-kurangnya dapat membantu untuk kegunaan harian, beli barang dapur dan keperluan anak-anak.

“Terima kasih banyak kepada Ketua Menteri yang sangat prihatin. Beliaulah yang mencetuskan ilham bantuan Sentuhan Kasih ini sehingga dapat dinikmati oleh rakyat seperti kami. Saya amat terharu,” tambah beliau.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!