![]() |
| Aktiviti mengutip sampah di sepanjang persisir pantai Tg Aru. |
KOTA KINABALU: Lebih 430 kilogram sampah berjaya dikutip di pesisir Pantai Tanjung Aru menerusi Program Beach Clean-Up Institut Marin Borneo (IMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) 2026, sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara kebersihan pantai dan ekosistem marin.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, usaha memelihara lautan perlu diperkukuhkan secara berterusan memandangkan sumber marin memainkan peranan penting dalam menjamin kesejahteraan manusia.
Menurutnya, lautan bukan sahaja kaya dengan biodiversiti, malah menjadi sumber kepada keselamatan makanan, aktiviti ekonomi dan kelangsungan hidup masyarakat.
“Laut bukan sahaja sumber biodiversiti yang penting, malah menjadi asas kepada keselamatan makanan, ekonomi dan kelangsungan kehidupan manusia.
“Kelestarian ekosistem marin hanya dapat dicapai melalui komitmen berterusan serta penglibatan semua pihak termasuk institusi pendidikan, industri dan masyarakat,” katanya ketika menyempurnakan majlis perasmian program itu, di sini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) IMB, Prof. Madya Dr. Mohammad Tamrin Mohamad Lal.
Sementara itu, Ketua Jabatan Tadbir Urus dan Pematuhan Perundangan TAED, Datuk Edmund Duodilim berkata, penganjuran program berkenaan membuktikan keberkesanan kerjasama antara sektor korporat dan institusi pendidikan dalam menyokong agenda kelestarian alam sekitar.
Katanya, pantai yang bersih tidak dapat diwujudkan tanpa kesedaran dan tindakan kolektif masyarakat untuk menjaga kawasan pesisir daripada pencemaran.
“Kesedaran dan tanggungjawab bersama amat penting bagi memastikan khazanah alam ini terus terpelihara untuk generasi akan datang,” ujar beliau.
Program itu turut menjadi platform meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap isu pencemaran marin serta kepentingan menjaga kebersihan kawasan pantai melalui penglibatan komuniti secara langsung.
Program yang berlangsung sempena Ocean Celebration 2026 itu menghimpunkan 86 peserta terdiri daripada sukarelawan dan ahli jawatankuasa pelaksana hasil kerjasama strategik antara IMB UMS dan Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED).
