SANDAKAN: Cubaan menyeleweng hampir 40 tan minyak sawit mentah (CPO) bernilai lebih RM400,000 berjaya dipatahkan hasil operasi bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Cawangan Sandakan di Jalan Check Point Batu 32, di sini, semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi kira-kira jam 11.45 pagi itu berjaya mengesan kegiatan pemindahan CPO yang dipercayai dilakukan tanpa kebenaran.
Beliau berkata, anggota PPM Sandakan mendapati berlaku aktiviti pemunggahan minyak sawit mentah daripada sebuah lori tangki ke sebuah lori kotak tiga tan dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan lanjut menemui enam unit tangki IBC berkapasiti 1,000 liter, sebuah enjin pam, dua tong drum serta satu hos yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti berkenaan.
"Empat lelaki berusia antara 34 hingga 44 tahun membabitkan dua warga tempatan dan dua warga Indonesia turut ditahan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pihak berkuasa turut merampas sebuah lori tangki, sebuah lori kotak tiga tan dan kira-kira 39,980 kilogram minyak sawit mentah.
"Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM424,210," katanya.
Ahmad Amri berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 5(1)(d) Peraturan-Peraturan Pelesenan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005 (PPLMSM 2005).
Beliau berkata, sepanjang tempoh Januari hingga Mei lalu, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan tujuh kes membabitkan pelanggaran PPLMSM 2005 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM7.46 juta serta 19 tangkapan dilakukan.
Katanya, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat operasi dan pemantauan bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan, penyeludupan serta pelanggaran undang-undang yang membabitkan komoditi strategik negara.
"Usaha berterusan ini penting bagi memastikan keselamatan serta kepentingan ekonomi negara sentiasa terpelihara," katanya.
