Teknologi AI, IoT bantu tarik belia ceburi sektor agromakanan

Chan (tiga dari kiri) ketika bergambar kenangan bersama barisan kementerian di bawah KPKM, di sini, pada Sabtu.

KOTA KINABALU: Penggunaan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT) dilihat mampu menarik lebih ramai golongan muda menyertai sektor agromakanan. 

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, sektor pertanian tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah tradisional semata-mata jika mahu kekal relevan dan menarik minat generasi baharu.

Menurutnya, kebanyakan petani ketika ini berusia sekitar 60 tahun, justeru usaha memperkenalkan teknologi perlu dipergiat bagi memastikan kelangsungan industri berkenaan pada masa depan.

“Jika kita masih bergantung kepada kaedah tradisional, agak sukar untuk menarik minat generasi muda menceburi sektor ini, sebab itu penggunaan teknologi seperti AI, IoT dan automasi amat penting untuk memastikan industri agromakanan terus mampan dan relevan.

“Golongan muda hari ini lebih tertarik kepada sektor yang mengaplikasikan teknologi dan inovasi, termasuk dalam bidang pertanian dan pengeluaran makanan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Road To Maha 2026 @Sabah yang berlangsung di sini, pada Sabtu. 

Menurut beliau, tema MAHA 2026 iaitu ‘Value Creation’ atau penciptaan nilai memberi penekanan kepada keseluruhan rantaian industri agromakanan yang bukan sahaja melibatkan pengeluaran hasil, malah merangkumi pemprosesan, pemasaran dan sektor makanan serta minuman (F&B).

Katanya, penciptaan nilai tambah sepanjang rantaian tersebut mampu meningkatkan pendapatan pengusaha tani dan menjadikan sektor itu lebih menarik kepada generasi muda.

Tambah Chan, Sabah sendiri mempunyai ramai usahawan tani muda yang berjaya memanfaatkan teknologi dalam perusahaan mereka.

Katanya, antara contoh yang boleh diambil ialah seorang pengusaha muda dari Ranau yang berjaya mengembangkan perniagaan pertanian bawang secara moden bagi memenuhi permintaan pasaran.

“Melalui penerapan teknologi dan penciptaan nilai tambah, anak muda boleh memperoleh pendapatan yang lebih baik. 

“Pada masa sama, kita perlu memastikan keseimbangan antara harga makanan yang berpatutan untuk pengguna dan pulangan yang adil kepada petani serta pengeluar makanan,” ujar beliau. 

Beliau berkata, usaha menarik lebih ramai belia menyertai sektor agromakanan penting bagi memastikan agenda keterjaminan makanan negara dapat diperkukuhkan pada masa hadapan.

Road to Maha atau Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia yang merupakan ekspo agromakanan terbesar negara bagi memperkukuh sektor agromakanan negara untuk memastikan bekalan makanan negara kekal mencukupi, selamat, mampan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global.

Program anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) ini akan kembali bagi edisi ke-14 di MAEPS, Serdang dari 28 Ogos hingga 6 September nanti dengan menghimpunkan komuniti pertanian, pemain industri agromakanan, penggubal dasar, pelabur serta masyarakat umum di bawah satu platform.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama