Pos kawalan sempadan Pulau Sebatik RM7.5 juta perkukuh kawalan Malaysia-Indonesia

TAWAU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM7.5 juta bagi pembinaan pos kawalan sempadan di Pulau Sebatik dalam usaha memperkukuh kawalan keluar masuk negara serta membanteras aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, projek berkenaan kini berada pada peringkat perancangan dengan proses pengesahan tapak sedang dilaksanakan oleh agensi berkaitan.

Menurutnya, pembinaan pos kawalan itu amat penting memandangkan Pulau Sebatik merupakan laluan strategik yang memerlukan pemantauan lebih rapi, khususnya melibatkan pergerakan keluar masuk penduduk serta aktiviti rentas sempadan.

“Kita berada di kawasan perbatasan Malaysia dan Indonesia di Pulau Sebatik bagi meninjau serta mengenal pasti lokasi projek pos kawalan yang akan dibina seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

“Alhamdulillah, perancangan berjalan dengan baik dan kita berharap ia dapat direalisasikan mengikut garis masa yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui sempena lawatan kerja ke projek sempadan Sabah di Pulau Sebatik, hari ini.

Beliau berkata, hasil tinjauan di lokasi mendapati pihak Indonesia telah lama mempunyai pos kawalan di kawasan berkenaan, manakala Malaysia masih belum mempunyai kemudahan seumpamanya di titik sempadan tersebut.

Situasi itu, katanya, menjadikan keperluan pembinaan pos kawalan lebih mendesak bagi memastikan kawalan imigresen serta keselamatan sempadan dapat dipertingkatkan.

“Kita perlu laksanakan projek ini bagi mengawal keluar masuk ke negara selain mengurangkan aktiviti penyeludupan yang saya fikir agak kritikal di kawasan ini.

“Ini antara perkara yang perlu diberi perhatian serius supaya projek dan pos kawalan ini dapat dilaksanakan dengan lebih cepat,” katanya.

Menurut beliau, projek berkenaan telah diluluskan dengan peruntukan RM7.5 juta dan kini sedang melalui proses perancangan serta pengesahan tapak oleh agensi berkaitan.

Katanya, sekiranya semua proses berjalan lancar, pembinaan pos kawalan itu dijangka siap dalam tempoh kira-kira dua tahun.

“Kalau ikut perancangan awal, kita jangka siap dalam tempoh dua tahun dan kita berharap ia dapat dilaksanakan mengikut jadual,” katanya.

Pulau Sebatik merupakan satu-satunya kawasan di Sabah yang berkongsi sempadan darat secara langsung dengan Indonesia, sekali gus menjadikannya lokasi strategik dari sudut keselamatan dan kawalan sempadan negara.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama