Kawasan semak jadi stor rokok seludup di Keningau

KOTA KINABALU: Kawasan semak dan terpencil di tepi jalan dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan sementara rokok tidak berkastam sebelum dipasarkan ke pasaran tempatan dalam hasil siasatan awal Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah, bulan lalu. 

Pengarah Kastam Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, pemeriksaan di kawasan semak berhampiran lokasi berkenaan menemukan terdapat 279,400 batang rokok yang dipercayai tidak berkastam dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM251,618.80 di sekitar Kampung Sindukud, Batu 11, Jalan Keningau-Sook. 

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua rokok berkenaan tidak mempunyai setem cukai, amaran kesihatan serta label kandungan tar dan nikotin seperti yang diwajibkan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya pada sidang media JKDM di sini, pada Selasa. 

Dr Ahmad Taufik berkata, semua rokok yang dirampas disyaki sebagai barang larangan dan tidak berkastam mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Dalam operasi berasingan, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Tawau pula merampas 61,200 batang rokok pelbagai jenama yang dipercayai tidak berkastam di dalam sebuah kenderaan Toyota Fortuner di tempat letak kereta Dynamic Club, Jalan Apas, pada 23 Mei lalu.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dalam kes itu dianggarkan RM224,482.40 termasuk kenderaan yang digunakan.

“Modus operandi yang digunakan adalah mengedar rokok belum lulus kastam dengan menggunakan kenderaan yang mewah,” jelas beliau. 

Katanya, kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(E) Akta Kastam 1967 kerana melibatkan penyimpanan, pemilikan dan pengangkutan barang tidak berkastam atau barang larangan dengan niat untuk mengelakkan duti atau melanggar larangan import atau eksport. 

Sehubungan itu, orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras kegiatan berkenaan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” tegasnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama