BEAUFORT: Polis berjaya membongkar kegiatan kecurian kabel telekomunikasi di daerah ini selepas menahan seorang lelaki tempatan dalam satu operasi khas di Kampung Binsulok, Membakut, baru-baru ini.
Penahanan suspek dilakukan hasil risikan dan maklumat oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort susulan beberapa laporan diterima berkaitan kerosakan dan kehilangan kabel yang menjejaskan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan terbabit.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champiun Piuh berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai tidak bertindak bersendirian dan mempunyai kaitan dengan beberapa kejadian khianat serta kecurian kabel di sekitar Membakut sebelum ini.
Menurutnya, suspek turut mengaku terbabit dalam kejadian berkenaan serta beberapa siri kes kecurian kabel yang berlaku di kawasan terbabit.
“Hasil siasatan awal, suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut serta beberapa siri kes kecurian kabel yang berlaku di sekitar Membakut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak polis kini sedang mempergiatkan siasatan lanjut bagi mengenal pasti tahap penglibatan suspek dalam kes-kes lain yang mempunyai modus operandi sama.
Katanya, usaha turut dijalankan untuk mengesan dan mendapatkan semula barangan kes yang dipercayai telah dijual atau dilupuskan.
“Polis tidak menolak kemungkinan terdapat individu lain yang turut terlibat dalam kegiatan ini dan usaha mengesan rangkaian suspek masih diteruskan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
