KENINGAU : Kebajikan veteran
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus menjadi agenda penting kerajaan menerusi
pelaksanaan Program Peduli Veteran MADANI (PVM) 2026 sebagai usaha menyantuni
veteran secara bersemuka.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly
Zahari berkata, program tersebut dilaksanakan bagi mendekati veteran ATM secara
langsung untuk memahami keperluan setempat serta memastikan bantuan dapat
disalurkan kepada golongan sasar dengan lebih berkesan menerusi pendekatan
turun padang.
"Program ini bertujuan
memperkukuh pelaksanaan melalui lima fokus utama iaitu kebajikan, kesihatan,
perumahan, pendidikan dan pemerkasaan ekonomi bagi membantu veteran ATM,"
katanya semasa Program PVM 2026 di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, dalam usaha
memperkukuh jaringan keselamatan sosial veteran, kerajaan turut memperkenalkan
bantuan bulanan sebanyak RM500 kepada veteran ATM berusia 60 tahun ke atas yang
tidak berpencen.
"Selain itu, veteran yang
mempunyai anak-anak yang masih bersekolah akan menerima bantuan sekali bayar
(one-off) sebanyak RM700 setiap tahun bagi tujuan persekolahan, sekali gus
membantu meringankan beban kewangan keluarga serta menyokong keperluan pendidikan
anak-anak mereka," katanya.
Menurut beliau, Sabah mempunyai
seramai 7,893 veteran ATM berdaftar, termasuk 855 veteran di Keningau.
Bagi tahun 2026, sebanyak
RM850,423 diperuntukkan di bawah Inisiatif Perumahan Veteran ATM Negeri Sabah
yang merangkumi projek baik pulih rumah dan pembinaan rumah baharu.
Sementara itu, Ketua Cawangan
Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Keningau, Pius
Nain @ Valentine, merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertahanan atas
keprihatinan berterusan dalam menjaga kebajikan veteran, khususnya mereka yang
berdepan masalah kesihatan dan memerlukan bantuan baik pulih rumah.
Beliau berkata, bantuan yang
disalurkan amat membantu veteran yang kebanyakannya berhadapan penyakit kronik
serta kekangan kewangan, sekali gus meringankan beban kehidupan mereka.
Penerima bantuan, Salamin Mujun,
turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan serta
Kementerian Pertahanan atas keprihatinan berterusan dalam membantu kebajikan
veteran ATM, khususnya mereka yang berdepan kesukaran hidup dan masalah
kesihatan.
"Bantuan yang diterima bukan
sahaja meringankan beban kewangan, malah memberi semangat dan kelegaan kepada
beliau serta keluarganya dalam meneruskan kehidupan harian.
"Inisiatif seperti bantuan
baik pulih rumah, bantuan kewangan sara hidup RM500 sebulan dan sumbangan Bakul
Rahmah amat bermakna serta tepat pada masanya, terutama dalam membantu veteran
yang memerlukan sokongan berterusan selepas menamatkan perkhidmatan,"
ujarnya yang merupakan salah seorang daripada 10 veteran ATM yang menerima
bantuan.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM), Sophian Isswandy Ismail;
Pengarah JHEV ATM Cawangan Sabah, Mejar Ismail Merah; Ketua Pegawai Eksekutif
Yayasan Veteran ATM (YVATM), Leftenan Kolonel Azwadi Jamian (Bersara); petugas
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sabah daerah Keningau dan Tambunan;
serta wakil persatuan veteran ATM setempat.
