TAWAU: Sebuah premis pengeluaran ais blok dipercayai beroperasi tanpa kelulusan dan lesen yang diperlukan diserbu dalam operasi bersepadu yang dijalankan Cawangan Risik/Taskforce Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Cawangan Tawau dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Khamis lalu.
Menurut kenyataan Batalion 14 PGA Tawau, operasi dijalankan kira-kira jam 8 pagi di premis tersebut hasil maklumat dan risikan yang diterima pihak berkuasa.
Operasi itu diketuai Pegawai Risik Cawangan Risik Batalion 14 PGA Tawau, Asisten Superintenden Mohd Rafail Rabbahil bersama sembilan anggota Cawangan Risik/Taskforce, lima pegawai KKM serta wakil MPT.
"Hasil pemeriksaan dijalankan ke atas premis dan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang dipercayai merupakan pengurus kilang berkenaan.
"Pemeriksaan di kawasan sekitar premis menemukan sebuah peti sejuk jenis chiller yang mengandungi sejumlah ais blok dipercayai untuk pasaran sekitar Tawau dan Semporna," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan berkenaan, pemeriksaan lanjut di dalam premis menemukan dua mesin penghasilan ais blok, sebuah mesin penghancur ais, dua unit cooling tower serta tangki simpanan air yang digunakan dalam proses pengeluaran ais blok.
Pihak berkuasa turut mendapati lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan dan Lesen Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan masih sah.
Bagaimanapun, katanya, pengusaha gagal mengemukakan sebarang lesen atau kelulusan yang membenarkan aktiviti penghasilan serta penjualan ais blok dijalankan.
"Selain itu, premis berkenaan didapati gagal memaparkan papan tanda perniagaan sebagaimana yang dikehendaki di bawah peruntukan undang-undang pihak berkuasa tempatan," menurut kenyataan itu lagi.
Keseluruhan aset dan peralatan yang dirampas dianggarkan bernilai RM2.1 juta.
KKM Cawangan Tawau turut mengambil tindakan lanjut dengan menjalankan siasatan mengikut Peraturan 394(A)(4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Dalam tindakan awal, KKM mengeluarkan kompaun sebanyak RM2,500 serta mengarahkan sitaan operasi kilang dan peralatan berkaitan.
Sementara itu, MPT mengeluarkan notis amaran pertama kepada pemilik premis kerana gagal memaparkan papan tanda perniagaan mengikut Undang-Undang Perlesenan (Iklan) MPT 1968.
Batalion 14 PGA Tawau dalam kenyataannya menegaskan pihaknya akan terus memperhebat operasi dan pemeriksaan di kawasan tanggungjawab bagi membanteras sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang serta memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan oleh agensi penguat kuasa.
