JKNS tambah lima pegawai perubatan baharu tangani isu kekurangan doktor di Hospital Lahad Datu

 

LAHAD DATU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengambil langkah segera bagi menangani isu kekurangan Pegawai Perubatan di Hospital Lahad Datu dengan menambah lima pegawai perubatan baru yang dijadual memulakan tugas bermula Julai depan.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan operasi klinikal serta kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di daerah berkenaan tidak terjejas.

Menurutnya, kapasiti perkhidmatan hospital akan diperkukuhkan melalui penempatan tiga Pegawai Perubatan tetap dan dua lagi secara sementara.

"Strategi yang dilaksanakan turut melibatkan mobilisasi Pegawai Perubatan melalui pendekatan kluster dengan bantuan daripada hospital di bawah Hospital Kluster Kota Kinabalu dan Hospital Kluster Tawau.

"Tindakan pantas ini penting bagi menjamin operasi klinikal dan perkhidmatan teras di Hospital Lahad Datu dapat diteruskan dengan lancar," katanya.

JKNS turut memaklumkan pihaknya akan memberi keutamaan kepada agihan Pegawai Perubatan kontrak ke fasiliti yang berdepan kekurangan tenaga kerja kritikal dalam pengambilan terdekat.

Dalam pada itu, kawalan terhadap perpindahan keluar pegawai perubatan juga akan diperkasakan bagi memastikan kestabilan sumber manusia serta kesinambungan perkhidmatan kepakaran di hospital terbabit.

Malah, kebajikan pesakit dan kelancaran operasi hospital di seluruh Sabah sentiasa menjadi keutamaan jabatan itu.

"JKNS komited memastikan mutu penjagaan kesihatan yang terbaik terus diberikan kepada masyarakat Sabah melalui perancangan dan pengurusan tenaga kerja yang berkesan," tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!