TAWAU: Tindakan mencurigakan seorang lelaki warga asing yang berlegar-legar di tepi Jalan Apas Batu 2 di sini, membawa padah apabila dia ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan curi motosikal, awal pagi Khamis.
Suspek itu ditahan kira-kira jam 1 pagi menerusi Op Lejang dan Op Bersepadu Cegah Jenayah Sempena Perayaan Kaamatan yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika berada di kawasan berkenaan sambil membawa satu set peralatan yang dipercayai digunakan untuk membuka motosikal.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu disyaki terbabit dalam kes curi motosikal yang pernah dilaporkan di Balai Polis Sri Indah.
"Polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan bagi tujuan melakukan kegiatan jenayah berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa.
"Malah, lelaki terbabit juga disyaki memasuki dan tinggal di negara ini tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya.
Beliau berkata, suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah," katanya
Jasmin berkata, polis akan terus mempergiatkan operasi pencegahan jenayah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah ini sentiasa berada pada tahap terbaik.
