KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha menyebarkan ajaran yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama Negeri Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, tindakan penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) terhadap program anjuran Jamaat Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) di Kota Kinabalu baru-baru ini membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam mempertahankan kesucian akidah umat Islam.
Menurutnya, operasi yang dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah (BPUUS) JHEAINS semalam dibuat susulan aduan awam berhubung penganjuran Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Kali Ke-32 yang dikaitkan dengan ajaran Ahmadiyah Qadiani.
“Kerajaan negeri memandang serius sebarang bentuk penyebaran ajaran yang telah difatwakan salah, sesat dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diwartakan di Sabah.
“Usaha membendung penyebaran fahaman yang boleh menjejaskan akidah umat Islam akan terus diperkukuhkan melalui pemantauan dan tindakan penguatkuasaan yang berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seramai 52 Pegawai Penguat Kuasa Agama JHEAINS dengan bantuan 25 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu terlibat dalam operasi berkenaan.
"Hasil siasatan mendapati program yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Mei itu dihadiri hampir 300 peserta dari seluruh Sabah, termasuk 12 individu yang dikenal pasti sebagai pemimpin kumpulan berkenaan," katanya.
Katanya, pelbagai bahan penerbitan, dokumen serta bahan promosi berkaitan ajaran Ahmadiyah Qadiani turut ditemukan dan dipamerkan sepanjang program berlangsung.
“Kesemua bahan berkaitan telah diambil tindakan mengikut peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
Mohd Arifin menjelaskan bahawa ajaran Ahmadiyah Qadiani telah difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng oleh Majlis Fatwa Negeri Sabah pada tahun 2006 sebelum diwartakan pada tahun 2007.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan umat Islam di Sabah agar sentiasa berwaspada dan menjauhi sebarang bentuk fahaman yang bercanggah dengan akidah Islam.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada PDRM Sabah atas kerjasama yang diberikan sepanjang operasi dijalankan.
Menurutnya, kerajaan negeri melalui JHEAINS akan terus komited memperkukuh usaha pendidikan, pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan kesucian akidah umat Islam sentiasa terpelihara serta keharmonian masyarakat terus terjamin.
