Jepun turunkan amaran perjalanan ke Sabah Timur

KOTA KINABALU: Kementerian Luar Jepun menurunkan tahap nasihat perjalanan ke beberapa kawasan di pantai timur Sabah susulan peningkatan tahap keselamatan di kawasan berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut laporan portal pelancongan Jepun, Traicy, keputusan itu melibatkan pulau-pulau di luar pantai timur Sabah, kecuali Pulau Banggi, Pulau Balambangan dan beberapa pulau lain, yang diturunkan daripada Tahap 3 kepada Tahap 2.

Tahap 3 sebelum ini membawa maksud rakyat Jepun dinasihatkan supaya mengelakkan semua perjalanan ke kawasan berkenaan, manakala Tahap 2 pula hanya menasihatkan supaya mengelakkan perjalanan yang tidak penting.

Selain itu, nasihat perjalanan bagi kawasan pesisir pantai dari Kudat hingga Tawau termasuk Pulau Banggi dan Pulau Balambangan turut diturunkan daripada Tahap 2 kepada Tahap 1.

Di bawah Tahap 1, pengembara hanya dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga ketika berada di kawasan terbabit.

Menurut laporan itu, amaran keselamatan terhadap kawasan pantai timur Sabah sebelum ini dinaikkan pada Julai 2014 berikutan beberapa kes penculikan untuk wang tebusan yang melibatkan warga asing dan dikaitkan dengan ancaman kumpulan Abu Sayyaf yang berpangkalan di selatan Filipina.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Jepun memaklumkan tiada kes penculikan untuk wang tebusan direkodkan di kawasan berkenaan sejak Januari 2020.

Malah, tahap keselamatan awam di kawasan terbabit turut menunjukkan peningkatan yang ketara.

Laporan itu turut menyatakan bahawa amaran bagi kawasan pesisir pantai Sabah sebelum ini dinaikkan susulan insiden pencerobohan kumpulan bersenjata yang menggelarkan diri mereka sebagai Tentera Diraja Sulu pada Mac 2013.

Namun, kementerian berkenaan berpandangan situasi keselamatan di kawasan itu kini stabil dengan insiden keganasan berada pada tahap rendah sejak beberapa tahun lalu.

Perkembangan itu dilihat sebagai petunjuk positif terhadap tahap keselamatan di Sabah Timur dan berpotensi meningkatkan keyakinan pelancong Jepun untuk berkunjung ke destinasi pelancongan terkenal di negeri itu.

Dalam masa sama, Kementerian Luar Jepun mengingatkan rakyatnya supaya sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan keselamatan sebelum melakukan perjalanan ke luar negara termasuk Malaysia serta negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!