Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah tamat operasi

SEMPORNA: Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) yang menjadi antara aset strategik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam memperkukuhkan keselamatan perairan Sabah Timur sejak 2015, secara rasmi ditamatkan operasinya selepas hampir 10 tahun berkhidmat.

Panglima Armada Timur TLDM, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris berkata, sepanjang tempoh itu, PL TSR memainkan peranan penting sebagai benteng hadapan dalam memperkukuhkan kawalan keselamatan maritim di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Menurutnya, kedudukan strategik pangkalan berkenaan membolehkan TLDM melaksanakan pemantauan berterusan selain memberi tindak balas pantas terhadap sebarang ancaman di perairan Sabah Timur.

"PL TSR bukan sekadar pangkalan operasi, tetapi simbol kehadiran berterusan TLDM dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara, khususnya di Sabah Timur.

"Sepanjang hampir sedekad beroperasi, pangkalan ini menyokong pelbagai operasi keselamatan maritim dan memperkukuh kehadiran aset TLDM di kawasan berisiko tinggi," katanya ketika berucap pada Majlis Pembubaran PL TSR di Markas Wilayah Laut 2, di sini, hari ini. 

Beliau berkata, PL TSR mula beroperasi pada 31 Julai 2015 dan asalnya merupakan Platform Mobile Offshore Production Unit dikenali sebagai Hercules 259 yang dibina di Houston, Amerika Syarikat pada 1973.

Katanya, platform berkenaan kemudiannya ditukar fungsi menjadi pangkalan laut hadapan hasil kerjasama antara TLDM, PETRONAS dan SapuraKencana.

Menurutnya, penamatan operasi PL TSR adalah sebahagian daripada penstrukturan semula aset serta keupayaan operasi TLDM bagi memenuhi keperluan semasa dan cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

Bagaimanapun, beliau menegaskan langkah itu tidak menjejaskan kehadiran TLDM di kawasan berkenaan.

"Peranan PL TSR akan diteruskan menerusi Kapal Auksiliari Tun Azizan (KA TAZ) bagi memastikan kesinambungan operasi dan kesiagaan pertahanan maritim di Sabah Timur.

"TLDM akan terus memperkukuh keupayaan operasi bagi memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara dan mampu menghadapi sebarang cabaran keselamatan pada masa hadapan," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama