![]() |
| Hajiji (tengah) ketika menerima Anugerah Tokoh Kemakmuran Pendidikan Negeri Sabah, di sini. |
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pencapaian yang direkodkan dalam keputusan SPM 2025 menunjukkan perkembangan positif dalam sektor pendidikan Sabah disifatkan sebagai hasil komitmen tinggi warga pendidik di negeri ini.
Menurutnya, kejayaan itu membuktikan peranan besar guru dalam membimbing serta melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing.
“Tadi disebut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Raisin bahawa pencapaian kelulusan ataupun keputusan peperiksaan SPM tahun lepas menunjukkan peningkatan yang amat ketara dan ini amat baik bagi kita di Sabah.
“Ini menunjukkan bahawa peranan guru-guru itu cukup besar dan cemerlang. Tahniah kepada mereka semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Pendidikan (MAPEN) Sabah, di sini, pada Khamis.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidikan Sabah yang diketuai Pengarah JPN Sabah atas sumbangan dan komitmen mereka dalam memperkukuh sistem pendidikan negeri.
Menurutnya, penganjuran majlis apresiasi berkenaan membuktikan jasa dan bakti guru sentiasa dihargai kerana golongan itu memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dan negara.
“Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah dan beri penghargaan kepada semua warga pendidikan di Sabah yang diketuai oleh Pengarah, datuk Raisin.
“Majlis apresiasi ini menunjukkan bahawa jasa dan bakti guru itu amat dihargai dan begitu penting bagi pembangunan masyarakat dan juga negara kita,” jelasnya.
Beliau berharap momentum kecemerlangan yang dicapai dapat diteruskan bagi memastikan mutu pendidikan di Sabah terus meningkat pada masa akan datang.
Sementara itu, Hajiji turut menerima Anugerah Tokoh Kemakmuran Pendidikan Negeri Sabah yang dianugerahkan oleh Pengarah JPN Sabah sebagai penghargaan atas komitmen berterusan beliau dalam memperkukuh dan memajukan sektor pendidikan sepanjang menerajui kepimpinan negeri.
.jpeg)