KOTA KINABALU: Tiga individu didenda keseluruhan RM49,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berurusan dengan diesel tanpa lesen yang sah, sekali gus mencatat sabitan pertama OPS TIRIS 4.0 Bersepadu di Sabah.
Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata kejayaan itu dilihat sebagai bukti ketegasan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah dalam membanteras ketirisan serta penyelewengan diesel bersubsidi di negeri ini.
Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Khamis, Dickson Yii Hung Tie, 30, dijatuhi hukuman denda RM30,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen 3 di hadapan Hakim Zaini Fishir @ Fisal.
Tertuduh bagaimanapun menjelaskan denda yang dikenakan.
Dalam kes berasingan di Mahkamah Sesyen 4, Hakim Marlina Ibrahim menjatuhkan hukuman denda RM8,000 setiap seorang terhadap Dickson dan Abd Rahman Muluk, 35, atau penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.
Sementara itu, Aznan Abd Rahim, 41, dikenakan denda RM3,000 atau penjara empat minggu sekiranya gagal membayar denda selepas mengaku bersalah atas pertuduhan sama.
Tertuduh turut menjelaskan denda yang diperintahkan mahkamah.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana berurusan dengan barang kawalan berjadual iaitu diesel tanpa lesen yang sah.
Mahkamah turut memerintahkan hasil jualan diesel yang terlibat dijadikan hasil Kerajaan Malaysia, manakala kenderaan yang digunakan dalam pelakuan kesalahan diserahkan kepada KPDN untuk tindakan pelucuthakan.
“Kejayaan ini membuktikan komitmen KPDN Sabah dalam membanteras ketirisan dan penyelewengan diesel bersubsidi serta memastikan setiap kes yang mempunyai bukti dan keterangan mencukupi dibawa sehingga ke peringkat pendakwaan dan sabitan di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan KPDN, hari ini.
Beliau berkata, bagi kesalahan di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama jika sabit kesalahan.
“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui saluran aduan rasmi KPDN bagi membantu memperkukuh usaha penguatkuasaan di Sabah,” ujar beliau.
