Lelaki maut terjatuh dari tingkat 26 kondominium di Penampang

PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan ditemukan maut berhampiran lobi sebuah kondominium di daerah ini, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 34 tahun dipercayai terjatuh dari sebuah unit kediaman di tingkat 26 bangunan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum siasatan segera dijalankan di lokasi.

Katanya, pemeriksaan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama pasukan forensik D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari sebuah unit kediaman di tingkat 26 kondominium berkenaan.

"Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan yang boleh dikaitkan dengan kejadian itu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut.

Sehubungan itu, Sammy berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

"Orang ramai juga diminta menghentikan penyebaran gambar atau video kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga serta waris mangsa.

"Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Mejar Patrick Duffy Francis di talian 013-8385335 atau menghubungi IPD Penampang di talian 088-712222," katanya

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama