Nama arwah Jasmin dalam pertimbangan naik pangkat SAC

TAWAU: Ketua Polis Daerah Tawau, Allahyarham Asisten Komisioner Jasmin Hussin yang meninggal dunia awal pagi tadi, dilaporkan berada dalam pertimbangan untuk kenaikan pangkat sebagai Senior Asisten Komisioner (SAC).

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, Allahyarham merupakan antara pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mempunyai potensi besar untuk terus melangkah lebih jauh dalam kerjaya berdasarkan prestasi cemerlang yang ditunjukkan sepanjang perkhidmatannya.

Menurutnya, pemergian Allahyarham bukan sahaja dirasai keluarga dan warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, malah menjadi kehilangan besar kepada PDRM, khususnya Kontinjen Sabah.

"Arwah seorang pegawai yang amat berdedikasi dan berpotensi untuk maju lagi dalam kerjayanya.

"Beliau antara pegawai yang senior dalam pangkatnya di Kontinjen Sabah dan namanya memang antara yang disebut-sebut untuk jawatan lebih tinggi," katanya ketika ditemui selepas memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham di kediaman keluarganya di Kampung Sungai Gading, Batu 17, Jalan Apas, Wakuba, di sini, hari ini.

Jauteh ketika ditemui,  di sini.

Jauteh berkata, Allahyarham turut berada dalam pertimbangan untuk dinaikkan pangkat ke SAC sebelum pemergiannya.

"Ini satu kehilangan yang amat besar kepada PDRM, khususnya Kontinjen Sabah kerana beliau antara pegawai yang boleh diketengahkan untuk memegang jawatan lebih mencabar pada masa depan," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta warga PDRM yang tampil menghulurkan bantuan kepada keluarga Allahyarham.

Katanya, keluarga Allahyarham akan menerima pelbagai bentuk bantuan kebajikan yang disediakan PDRM termasuk menerusi tabung khairat dan bantuan kewangan lain.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama membantu keluarga arwah pada saat sukar ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap ahli keluarga Allahyarham tabah menghadapi ujian berkenaan dan menerima ketentuan Ilahi dengan reda.

Terdahulu, Allahyarham Jasmin, 53, meninggal dunia pada jam 2.04 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Tawau.

Mengulas mengenai punca kematian, Jauteh berkata, pihaknya masih menunggu laporan rasmi bedah siasat daripada pihak hospital.

"Setakat ini laporan postmortem belum diterima lagi," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!