SANDAKAN: Lima lelaki tempatan berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki karam selepas dipukul ombak besar ketika dalam perjalanan pulang dari aktiviti memancing di perairan Pulau Nunuyan, petang semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 5.15 petang daripada seorang pengadu yang memaklumkan kejadian itu berlaku kira-kira 0.1 batu nautika di utara Pulau Nunuyan.
Menurutnya, kesemua mangsa yang berusia antara 38 hingga 59 tahun keluar dari Jeti Nelayan Karamunting pada jam 6 pagi untuk menjalankan aktiviti memancing di sekitar perairan berkenaan.
"Bagaimanapun, bot yang dinaiki dipercayai karam selepas dipukul ombak besar ketika dalam perjalanan pulang sebelum bantuan kecemasan dimohon daripada Maritim Malaysia.
"Sejurus menerima maklumat, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kota Kinabalu mengatur gerak Bot Banggi 44 dan Bot Cenderawasih 04 ke lokasi bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Suhairy berkata, hasil tindakan pantas anggota dan aset yang digerakkan, kesemua mangsa berjaya diselamatkan sebelum dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon (IPMZ) Sandakan untuk tindakan lanjut.
Katanya, semua mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan hanya mengalami keletihan serta kesejukan akibat insiden itu.
Beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga untuk memberikan bantuan kepada komuniti maritim yang berdepan kecemasan di laut.
"Pengguna bot dan komuniti maritim dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dengan memastikan bot berada dalam keadaan baik, membawa peralatan keselamatan mencukupi serta memakai jaket keselamatan sepanjang berada di laut.
"Mereka juga perlu sentiasa memantau keadaan cuaca dan memastikan bot tidak melebihi had muatan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya.
Beliau menegaskan Maritim Malaysia komited memperkasakan keselamatan dan kesejahteraan komuniti maritim serta sentiasa bersedia memberikan bantuan sekiranya berlaku kecemasan di laut.
