Lelaki ditahan, syabu 8.63 gram dirampas di Felda Umas

TAWAU: Seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun ditahan selepas dipercayai memiliki dadah jenis syabu seberat 8.63 gram dalam serbuan di sebuah rumah di Blok 3 Felda Umas, di sini semalam. 

Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, tangkapan dilakukan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau hasil risikan dan pemantauan yang dijalankan lebih awal di kawasan berkenaan.

Menurutnya, serbuan dijalankan di sebuah kediaman sebelum pihak polis menahan seorang lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemukan beberapa paket plastik lutsinar mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat keseluruhan 8.63 gram.

“Semua barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek turut mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Suspek telah ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama kerana menggunakan dadah berbahaya,” katanya.

Dalam pada itu, Wilynton menegaskan polis akan terus mempergiatkan operasi membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras jenayah dadah demi kesejahteraan komuniti setempat.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!