SEMPORNA: Empat individu cedera selepas kenderaan jenis Proton Saga yang dinaiki mereka terbabas sendiri di bahu jalan dalam kejadian di Kampung Selamat, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20-an.
Pengganti Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Norhaini Jumdeani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 1.55 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai pada jam 1.58 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi, komander operasi mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Saga yang dipercayai terbabas sendiri di bahu jalan.
“Kesemua mangsa yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Semporna menggunakan kenderaan awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan di lokasi serta mendapatkan maklumat berkaitan kejadian bagi memastikan tiada risiko bahaya lain yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
“Selepas memastikan keadaan selamat dan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.23 pagi,” katanya.
