![]() |
| Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin. Foto | PDRM. |
TAWAU: Teguran kerana didakwa lambat menyiapkan kerja pembaikan rumah berakhir dengan tragedi apabila seorang nelayan OKU penglihatan maut dipercayai dipukul menggunakan batang pokok bakau di Felda Umas, dekat sini, Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa, Mohamad Sukry Mobing, 40, dikatakan dipukul dua lelaki warga asing selepas dipercayai ditegur kerana lambat menyiapkan kerja membaiki rumah seorang penduduk.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala, mulut dan hidung ditemui dalam keadaan berlumuran darah serta sesak nafas di kawasan jeti awam Felda Umas sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Felda Umas untuk mendapatkan rawatan awal.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata
mangsa yang kemudian dirujuk ke Hospital Tawau menaiki ambulans bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital pada jam 1.35 tengah hari.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang mempunyai kad OKU kategori penglihatan terbabit dalam pertengkaran dengan dua lelaki ketika mereka sedang melakukan kerja pertukangan di rumah seorang penduduk.
"Menurut keterangan saksi, pertengkaran itu dipercayai tercetus selepas mangsa ditegur kerana lambat menyiapkan kerja pembaikan rumah sebelum kedua-dua suspek bertindak memukul mangsa menggunakan batang pokok bakau.
"Bertindak atas maklumat dan siasatan dijalankan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan dua lelaki berusia 23 dan 52 tahun di Pulau Bingkulan, Kalabakan bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, punca sebenar kematian mangsa masih menunggu keputusan bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Tawau.
"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
