Tautan kasih PUSPANITA bantu mahasiswa UiTM Sabah, sumbang RM5,000 dan kelengkapan dapur

KOTA KINABALU: Kebajikan mahasiswa terus mendapat perhatian apabila Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama PUSPANITA Cawangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyalurkan sumbangan wang tunai dan pelbagai kelengkapan dapur kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, semalam.

Menerusi Program 'Majlis Tautan Kasih', kedua-dua organisasi berkenaan menyerahkan sumbangan tunai RM5,000 kepada Dapur Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Sabah bagi membantu meningkatkan kemudahan penyediaan makanan untuk mahasiswa.

Program itu dihadiri Penaung PUSPANITA Cawangan KPDN, Datin Dr Rafidah Salleh yang juga isteri kepada Menteri KPDN, bersama Penaung PUSPANITA Cawangan KDN, Datin Seri Datuk Hajah Norhayati Musa.

Seramai 60 ahli rombongan terbabit dalam program berkenaan yang turut membabitkan kerjasama pelbagai agensi dan badan korporat persekutuan termasuk Jabatan Penjara Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Selain bantuan kewangan, Dapur HEP UiTM Sabah turut menerima pelbagai peralatan elektrik domestik bagi memudahkan urusan penyediaan makanan kepada pelajar.

Antara barangan yang disumbangkan ialah lima ketuhar gelombang mikro, tiga peti sejuk, tiga dapur induksi, tiga mesin air panas dan dua unit penggoreng udara (air fryer).

Program berkenaan turut menyaksikan agihan produk makanan dalam tin sedia dimakan seperti sardin, kari ayam dan kari daging sebagai jaminan bekalan makanan kepada mahasiswa.

Pada masa sama, Pertubuhan Kebajikan Kakitangan Penjara Malaysia (PERSIAP) turut menyumbang 300 pek makanan sejuk beku untuk diagihkan terus kepada pelajar yang memerlukan.

Penganjuran program itu mencerminkan komitmen berterusan sektor awam dan agensi kawal selia dalam menyantuni komuniti institusi pengajian tinggi serta membantu meringankan beban kos sara hidup mahasiswa.

Sumbangan berkenaan diharap dapat memastikan aspek kebajikan dan keperluan pemakanan warga kampus sentiasa terpelihara sepanjang tempoh pengajian mereka.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!