KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 86 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini, Rabu lalu.
Operasi yang dilaksanakan hasil aduan awam itu membabitkan 24 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan JIM Sabah.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, seramai 125 individu diperiksa sepanjang operasi berkenaan sebelum 86 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Menurutnya, semua yang ditahan terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia.
"Hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah atau pas yang dibenarkan untuk berada di negara ini.
"Kesemua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
Katanya, tindakan tegas turut akan diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang didapati melindungi atau menggaji PATI.
"Tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya membabitkan isu keselamatan negara.
"JIM Sabah juga menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil," katanya.
