PENAMPANG: Seorang wanita tempatan berusia 43 tahun ditahan selepas polis merampas sejumlah air ketum dan daun ketum dalam serbuan di Kampung Ulu Seberang, Putatan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, serbuan dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Penampang pada jam 1 tengah hari hasil maklumat yang diterima.
Menurutnya, hasil serbuan di sebuah rumah di kampung berkenaan membawa kepada penahanan wanita terbabit bersama pelbagai barangan disyaki berkaitan ketum.
"Hasil pemeriksaan menemui 30 botol plastik berisi cecair disyaki air ketum dan satu karung plastik putih mengandungi dedaun hijau disyaki daun ketum.
"Anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah RM975," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sammy berkata, polis turut menyita beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
"Polis memberi amaran keras dan tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah atau air ketum diminta segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras jenayah berkenaan," katanya.
