Lelaki disyaki curi kabel SESB ditahan, positif syabu

KOTA MARUDU: Seorang lelaki tempatan dipercayai aktif dalam kegiatan mencuri kabel milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di kawasan Telaga, Pitas ditahan polis dalam satu operasi di Kampung Salimpodon Laut, Pitas awal pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Simiun Lomudin berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam hasil maklumat yang diterima daripada orang awam.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas suspek menemui sebuah beg berisi tembaga yang dipercayai hasil kupasan kabel SESB yang dicuri.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Kampung Maringgan, Pitas dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel utiliti berkenaan di kawasan Telaga.

“Tembaga yang dirampas dipercayai belum sempat dijual sebelum suspek berjaya ditahan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan turut mendapati suspek positif dadah jenis syabu.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap bekalan utiliti awam.

“Suspek akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Simiun turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada kejayaan tangkapan tersebut.

“Kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha membanteras jenayah. Orang ramai digalakkan untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama