TAWAU: Seorang lelaki yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar lebih tiga kilogram syabu berjaya memperoleh pengurangan hukuman penjara selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan semakan yang difailkannya.
Permohonan semakan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah secara 'Certificate of Urgency' berhubung hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Majistret terhadapnya bagi satu lagi kesalahan di bawah Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 26 Mei lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos memerintahkan hukuman penjara sembilan bulan yang dikenakan terhadap Hadriansyah Sabran, 46, dikurangkan kepada enam bulan pada prosiding di Mahkamah Tinggi Tawau, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan tertuduh supaya hukuman penjara itu digantikan dengan denda, selain mengekalkan perintah pengawasan polis selama dua tahun.
Terdahulu, peguam bela Datuk Ram Singh berhujah bahawa semasa rayuan mitigasi di Mahkamah Majistret, pihak pembelaan secara khusus memohon supaya denda minimum dikenakan terhadap anak guamnya dengan mengambil kira tempoh reman yang telah dijalani.
Beliau berkata, sebelum berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 15 akta berkenaan, Hadriansyah terlebih dahulu ditangkap dan didakwa atas pertuduhan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang timbul daripada transaksi serta keadaan tangkapan yang sama pada 13 Mac lalu.
Menurutnya, pertuduhan mengedar dadah itu kemudiannya ditarik balik pada 26 Mei lalu selepas pihak pembelaan mengemukakan representasi berserta bukti sokongan yang kemudiannya disemak oleh pihak pendakwaan.
Ram berkata, bermula dari tarikh tangkapan sehingga keputusan kes pada 26 Mei lalu, tertuduh telah melalui tempoh reman yang panjang serta kehilangan kebebasan diri.
Ketika ditemui di luar bilik bicara, penjaga stor simpanan kenderaan yang masih bujang itu tidak dapat menyembunyikan rasa syukur apabila keputusan semakan itu diumumkan.
"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana akhirnya mendapat pembelaan dalam kes ini. Saya tidak sangka dengan keputusan ini dan menganggap apa yang berlaku sebagai satu pengalaman yang amat bermakna buat diri saya.
"Perkara ini mengajar saya supaya lebih berhati-hati pada masa depan dan selepas ini, saya berharap dapat meneruskan pekerjaan di syarikat yang sama dengan lebih tenang," katanya.
Sementara itu, Ram Singh berkata, susulan keputusan Mahkamah Tinggi itu, anak guamnya dijangka dibebaskan selewat-lewatnya pada penghujung bulan ini.
Pada 26 Mei lalu, Hadriansyah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Tawau daripada pertuduhan mengedar 3,148 gram methamphetamine di sebuah gudang simpanan kenderaan di Jalan Sin Onn, di sini, selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadapnya.
Dalam prosiding berasingan pada hari sama, Hadriansyah mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 15 akta yang sama sebelum dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan bermula dari tarikh tangkap pada 13 Mac lalu.
