KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah membongkar tiga kes penyeludupan minuman keras tidak berkastam dengan jumlah rampasan melebihi 21,000 liter sepanjang Mei lalu.
Pengarah Kastam Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, ketiga-tiga kes berkenaan melibatkan rampasan minuman keras yang dipercayai diseludup menggunakan pelbagai modus operandi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Katanya, kes pertama dikesan pada 22 Mei lalu apabila pasukan operasi penguatkuasaan Kota Kinabalu menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Kawasan Pemeriksaan Kastam (Customs Examination Area) di Pelabuhan Sepanggar.
“Hasil pemeriksaan menemui 15, 480 liter Briegden Beer bernilai RM341, 946 yang dipercayai diimport dengan pengikraran tidak benar bagi mengelakkan pengesanan pihak berkuasa.
“Modus operandi yang digunakan ialah menyembunyikan dan mengangkut minuman keras tidak berkastam dengan membuat pengikraran yang tidak benar atau mengelirukan terhadap barang yang diimport,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Sabah, di sini.
Menurutnya, dua hari kemudian iaitu pada 24 Mei, pasukan penguat kuasa turut menahan sebuah lori bonded di sekitar Jalan Kuala Penyu, Tamu Kayul yang membawa 4,992 liter bir.
Bir pelbagai jenama itu bernilai lebih RM26 ribu, sindiket dipercayai menggunakan lori kotak untuk mengangkut minuman keras berkenaan bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan, tidak membuat pembayaran duti dan cukai yang ditetapkan.
Dalam satu lagi kes pada 26 Mei, pasukan operasi penguatkuasaan JKDM Keningau menahan sebuah Toyota Hilux Double Cab 4x4 di Rancangan Belia Tulid, Kampung Simbuan, Sook yang membawa 560 liter minuman keras pelbagai jenama berlabel Malaysian Duty Not Paid (MDNP).
Katanya, minuman keras berkenaan dipercayai diseludup dari Wilayah Persekutuan Labuan sebelum cuba dibawa masuk ke Kawasan Utama Kastam tanpa permit dan setem cukai yang sah.
“Modus operandi yang digunakan ialah menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi mengangkut minuman keras tidak berkastam melalui jalan pedalaman,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan peningkatan cubaan penyeludupan minuman keras mempunyai kaitan dengan permintaan semasa musim perayaan dan pesta tradisi.
“Memang ada kemungkinan itu. Kita menjangka permintaan untuk minuman keras ini berkait dengan musim perayaan dan juga pesta tradisi,” katanya.
Beliau menegaskan JKDM akan terus memperhebat operasi serta pemantauan bagi membanteras aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja merugikan negara, malah boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

