KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah mengesahkan tiada unsur penipuan dikesan dalam isu penjualan sotong yang tular di media sosial selepas didakwa mengandungi ikan di dalamnya di Pasar Besar Kota Kinabalu.
KPDN Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menggerakkan pasukan operasi ke lokasi sejurus menerima aduan bagi menjalankan pemeriksaan dan mendapatkan penjelasan daripada peniaga yang terlibat.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati keadaan berkenaan bukan dilakukan secara sengaja untuk menambah berat timbangan atau mengelirukan pengguna.
“Peniaga memaklumkan ikan dan sotong ditangkap secara bercampur dan berkemungkinan terdapat ikan yang masih hidup memasuki rongga badan sotong semasa berada dalam hasil tangkapan sebelum dipasarkan.
“Selain itu, bahagian dalam sotong sememangnya mengandungi sisa makanan daripada habitat semula jadinya yang dalam keadaan tertentu boleh menyerupai bentuk seekor ikan yang belum hadam sepenuhnya,” katanya.
Menurut KPDN Sabah, pemeriksaan lanjut mendapati peniaga berkenaan mematuhi perundangan di bawah bidang kuasa KPDN.
Katanya, tanda harga turut dipamerkan dengan jelas kepada pengguna manakala alat timbang yang digunakan mempunyai sijil penentusahan yang sah dan masih dalam tempoh yang dibenarkan.
Bagaimanapun, KPDN Sabah telah memberikan teguran dan nasihat kepada peniaga supaya menjalankan pemeriksaan lebih teliti terhadap semua hasil dan produk makanan laut sebelum dipasarkan.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan produk yang dijual berada dalam keadaan baik, sekali gus mengelakkan kekeliruan pengguna serta meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap amalan perdagangan yang dijalankan.
“KPDN Sabah akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat bukti berlakunya pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa kementerian,” ujarnya.
Beliau turut menggalakkan pengguna menyalurkan sebarang aduan melalui saluran rasmi KPDN bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
