KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disifatkan sebagai rumah sebenar bagi parti-parti politik tempatan di negeri ini kerana menjadi satu-satunya gabungan yang diasaskan dan diterajui oleh parti tempatan Sabah.
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick berkata, penyertaan rasmi UPKO sebagai parti komponen GRS mengembalikan semangat asal pembentukan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya, parti-parti politik dari Sabah seharusnya berada dalam gabungan tempatan yang benar-benar memahami identiti serta aspirasi rakyat negeri itu dalam menentukan hala tuju pembangunan masa depan.
“GRS adalah satu-satunya gabungan parti tempatan Sabah, maka sepatutnya inilah rumah sebenar parti politik dari Sabah.
“Sebagai Presiden UPKO, saya bersukacita dapat membawa UPKO ke tempat yang sepatutnya, iaitu dalam gabungan parti-parti tempatan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian susulan penerimaan rasmi UPKO sebagai parti komponen GRS selepas permohonan penyertaannya dikemukakan pada 29 Mei lalu.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor serta seluruh anggota Majlis Tertinggi GRS yang menerima keanggotaan parti itu.
Katanya, hanya parti-parti tempatan Sabah yang benar-benar memahami citra negeri tersebut dalam usaha membangunkan masa depannya berlandaskan perkara yang telah dipersetujui menerusi MA63.
“Ini mengembalikan semangat asal penubuhan negara Malaysia melalui MA63, di mana parti-parti politik Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu mempunyai gabungan wilayah masing-masing dan menandatangani perjanjian menubuhkan negara ini,” katanya.
Beliau berkata, UPKO akan terus menyumbang kepada usaha mengukuhkan dan memperkasakan GRS bagi memimpin, mentadbir serta membangunkan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat Sabah untuk terus bersatu di bawah gabungan parti tempatan bagi merealisasikan wawasan "Sabah First, Sabah Prosper, Sabah United".
“Marilah semua rakyat Sabah berpadu dalam gabungan parti tempatan kita sendiri, iaitu GRS,” katanya.
