BEAUFORT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Beaufort merampas kira-kira 1,000 liter minyak diesel yang disyaki dipindahkan secara menyalahi undang-undang dalam satu operasi bersepadu di sebuah stesen minyak di Pekan Beaufort, Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu, anggota Task Force Perisikan Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menahan sebuah kenderaan dan tiga individu sebelum menyerahkan kes berkenaan kepada KPDN untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Beaufort, Jamiah Bakar berkata, tindakan sitaan semula dilakukan oleh pegawai penguat kuasa KPDN selepas menerima serahan barang kes dan Orang Kena Tuduh (OKT) daripada PGA.
Katanya, antara barang yang disita ialah sebuah kenderaan jenis Isuzu Invader Double Cabin, minyak diesel dianggarkan sebanyak 1,000 liter yang disimpan dalam tangki ubah suai di dalam kenderaan, satu gelung hos, sebuah pam minyak elektrik serta beberapa dokumen berkaitan.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM23,320 termasuk kenderaan dan peralatan yang digunakan dalam kegiatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan KPDN, hari ini.
Menurutnya, kes berkenaan merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Ops Tiris 4.0 Bersepadu yang dilaksanakan KPDN dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi, khususnya diesel.
“KPDN memandang serius sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan yang boleh menjejaskan bekalan dan kepentingan pengguna.
“Pihak KPDN akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujarnya.
Jamiah berkata, kes itu kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peraturan-peraturan di bawahnya, dan jika sabit kesalahan, tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada KPDN sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan di kawasan masing-masing.
“KPDN akan terus mempergiatkan pelaksanaan Ops Tiris 4.0 Bersepadu melalui pendekatan risikan, pemeriksaan dan penguatkuasaan bersepadu bagi memastikan kegiatan penyelewengan barang kawalan dapat dibanteras secara menyeluruh,” tambahnya.
