Lebih 20,000 petak parkir tersedia di pusat bandar Kota Kinabalu

Foto: DBKK. 

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memaklumkan lebih 20,000 petak parkir disediakan di sekitar pusat bandar raya ini.

DBKK dalam satu kenyataan berkata orang ramai perlu memanfaatkan kemudahan yang tersedia bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta memastikan kelancaran pergerakan kenderaan.

“Kira-kira 4,005 petak parkir awam di kawasan pusat bandar dan sekitarnya, selain kemudahan parkir bertingkat di Bangunan KK Plaza yang mempunyai 452 petak, Menara Jubili (276 petak) dan KK Sentral (499 petak) dengan kadar caj RM1 sejam.

“Selain kemudahan yang disediakan DBKK, lebih 19,000 petak parkir turut disediakan oleh bangunan komersial dan premis persendirian di sekitar pusat bandar termasuk The Shore(711), Wisma Sabah(125), Wisma Merdeka(752), Warisan Square(510), Suria Sabah(2,016), Riverson(760), Plaza Shell(550), Oceanus(815), KK Times Square(3,287), Jesselton Quay(1,148), Jesselton Mall(910), Imago(1,795), Kompleks Asia City(1,581), Centre Point (1,376) dan Api-Api Centre(1,480),” katanya.

Menurutnya, kemudahan parkir di bangunan persendirian itu mengenakan caj yang berpatutan iaitu antara RM2 hingga RM4 bagi beberapa jam pertama.

Bagaimanapun, DBKK mendapati masih terdapat pemandu yang memilih untuk meletakkan kenderaan di lokasi yang tidak dibenarkan seperti bahu jalan, laluan masuk dan keluar premis, kawasan larangan parkir, persimpangan jalan, kawasan pejalan kaki, hadapan premis perniagaan serta lokasi yang menghalang pergerakan lalu lintas.

Menurut DBKK, tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar peraturan, malah boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas, menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya lain dan menjejaskan kelancaran aktiviti perniagaan serta urusan harian orang awam.

“Dalam beberapa keadaan, parkir secara tidak teratur turut mengakibatkan kerosakan kepada kemudahan awam seperti landskap bandar, pokok hiasan, kaki lima, pembahagi jalan dan infrastruktur lain yang disediakan untuk kegunaan masyarakat,” jelasnya.

Dalam pada itu, DBKK menegaskan penguatkuasaan terhadap kesalahan parkir dilaksanakan secara berperingkat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, sebelum tindakan lanjut diambil, anggota penguat kuasa akan membuat hebahan melalui siren atau pembesar suara bagi memberi peluang kepada pemilik kenderaan mengalihkan kenderaan masing-masing.

“Jika pemilik kenderaan tidak hadir atau kesalahan masih berterusan, notis kompaun akan dikeluarkan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Bagi kes tertentu yang melibatkan halangan lalu lintas, risiko keselamatan awam, kesalahan berulang atau kegagalan mematuhi arahan, tindakan menunda kenderaan akan dilaksanakan sebagai langkah terakhir selepas semua prosedur berkaitan dipatuhi,” tegasnya.

DBKK turut mengingatkan orang ramai bahawa berjalan kaki dalam jarak munasabah dari kawasan parkir ke destinasi adalah amalan biasa di bandar-bandar utama dunia dan menggalakkan pengguna memanfaatkan kemudahan parkir di bangunan berhampiran bagi mengurangkan kesesakan serta mewujudkan persekitaran bandar yang lebih teratur.

“DBKK menyeru semua pengguna jalan raya supaya menggunakan petak parkir yang sah, mematuhi peraturan ditetapkan serta merancang perjalanan dengan lebih baik apabila berurusan di kawasan pusat bandar,” tambahnya.

DBKK menambah, kerjasama dan sikap bertanggungjawab semua pihak amat penting bagi memastikan Kota Kinabalu terus kekal sebagai bandar raya yang bersih, teratur, selamat dan mesra pengguna.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama