TAWAU: Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, dilaporkan meninggal dunia pada jam 2.04 pagi tadi di Hospital Tawau, mengejutkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat setempat.
Pemergian Allahyarham yang berusia 53 tahun itu disahkan menerusi makluman awal kematian yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Dalam makluman itu, Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 2.04 pagi di Unit Kecemasan Hospital Tawau, manakala punca kematian masih menunggu pengesahan rasmi Unit Forensik Hospital Tawau.
Allahyarham yang berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah Tawau merupakan Pegawai Kanan Polis hampir lima tahun di IPD berkenaan.
Sehubungan itu, IPD Tawau memaklumkan bahawa Unit Bantuan Kebajikan (BAKA) serta pihak IPD telah digerakkan bagi menyelaras urusan kebajikan ahli keluarga, serta pengurusan jenazah Allahyarham.
Tinjauan di Unit Forensik Hospital Tawau mendapati ahli keluarga Allahyarham serta pegawai dan anggota IPD Tawau memenuhi ruang menunggu sementara menantikan perkembangan lanjut berhubung urusan pengurusan jenazah.
Suasana pilu menyelubungi perkarangan unit berkenaan apabila pegawai dan anggota IPD Tawau, ahli keluarga serta kenalan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Pemergian Allahyarham turut mengejutkan pengamal media tempatan yang sering berurusan dengannya, selain masyarakat setempat yang mengenali beliau sebagai seorang pegawai polis yang komited dalam melaksanakan tugas serta mudah didekati.
IPD Tawau turut memaklumkan maklumat lanjut berhubung tarikh, masa dan lokasi pengebumian akan dikemaskini dari semasa ke semasa selepas diselaraskan bersama keluarga Allahyarham.
