Dua rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Bantayan

KOTA KINABALU: Dua rumah musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi mengalami kerosakan sebahagian dalam kebakaran di Kampung Bantayan, Inanam, di sini, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 3.27 petang sebelum menggerakkan anggota ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, jentera pertama tiba pada jam 3.44 petang dan mendapati kebakaran membabitkan tiga rumah.

"Rumah pertama jenis kekal berukuran 30 kaki x 60 kaki musnah sepenuhnya, manakala rumah kedua jenis separuh kekal berukuran 80 kaki x 120 kaki turut terbakar 100 peratus.

"Rumah ketiga iaitu rumah separuh kekal dua tingkat berukuran 40 kaki x 60 kaki hanya mengalami kerosakan pada bahagian garaj seluas 20 kaki x 10 kaki dengan anggaran kemusnahan 10 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, seramai 21 anggota daripada BBP Lintas dan BBP Penampang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Selvister Yamud dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.

Katanya, pasukan bomba menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan tiga pancutan air yang diperoleh daripada jentera bomba dan pili bomba berhampiran bagi mengawal kebakaran.

"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.09 petang selepas dipastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu, manakala punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!