300 pengikut ajaran sesat ditahan dalam serbuan di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seramai 300 individu termasuk 12 pemimpin dan penganjur utama kumpulan Jemaah Ahmadiyah Qadiani ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan SM Lok Yuk, Likas, di sini, hari ini.

Operasi itu dilaksanakan ketika program Jalsa Salana Wilayah Sabah Ke-32 yang berlangsung dari 29 hingga 31 Mei sedang diadakan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, tindakan diambil susulan aduan awam yang diterima JHEAINS pada 28 Mei lalu berhubung penganjuran program berkenaan.

Katanya, hasil semakan mendapati program itu dikaitkan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah serta diwartakan pada 2007.

"Seramai 300 individu ditahan bagi membantu siasatan, terdiri daripada 12 pemimpin dan penganjur utama serta 288 ahli jemaah.

"Program ini turut dihadiri kepimpinan tertinggi Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) dan ahli-ahli dari beberapa daerah di Sabah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pihak berkuasa turut merampas 24 banting yang memaparkan pengasas serta pemimpin tertinggi kumpulan itu.

Selain itu, katanya, kira-kira 200 buku dan bahan bacaan berkaitan ajaran berkenaan turut dirampas bersama dokumen program, senarai kehadiran, bahan penerbitan dan pelbagai dokumen lain yang mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan terbabit.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 52(1), Seksyen 52A dan Seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995.

"Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut oleh JHEAINS sebelum dibebaskan dengan jaminan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.

Syed Lot turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan panduan agama daripada sumber yang sahih dan diiktiraf serta merujuk pihak berkuasa agama sekiranya mempunyai sebarang keraguan berkaitan sesuatu ajaran atau fahaman agama.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang didapati menyeleweng daripada ajaran Islam," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama