![]() |
| Jamawi (tengah) menyantuni pelajar sekolah dengan diiringi oleh Samuel. |
TENOM: Penternak khinzir berskala kecil di Sabah bakal menerima bantuan sekali beri (One-Off) dalam bentuk bekalan makanan ternakan yang diperkenalkan Kerajaan Negeri bagi membantu mengurangkan kos operasi dan meningkatkan pengeluaran industri berkenaan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, bantuan itu akan diberikan kepada penternak yang memelihara 50 ekor khinzir dan ke bawah menerusi peruntukan khas yang sedang disediakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.
Katanya, inisiatif itu diperkenalkan selepas kerajaan mendapati industri ternakan khinzir kurang mendapat perhatian berbanding sektor ternakan lain yang sebelum ini menerima pelbagai bentuk bantuan.
“Sebelum ini tidak pernah kita bagi bantuan kepada penternak khinzir kecil-kecilan. Kita bantu penternak lembu, kambing, ayam dan ikan, tetapi industri ini terlepas pandang.
“Kita akan usahakan supaya mereka juga mendapat bantuan daripada kerajaan dalam bentuk makanan ternakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, bantuan berkenaan diharap dapat membantu meningkatkan pengeluaran ternakan tempatan sekali gus menstabilkan bekalan serta harga produk berasaskan khinzir di pasaran.
Beliau berkata, ketika ini pengguna berdepan kenaikan harga produk berasaskan khinzir termasuk sinalau bakas yang dilaporkan mencecah kira-kira RM47 sekilogram.
Menurutnya, peningkatan harga turut dipengaruhi oleh kekurangan bekalan selepas kawalan pemburuan khinzir liar dilaksanakan sejak dua tahun lalu susulan ancaman penyakit haiwan.
“Kerajaan masih mengekalkan larangan pemburuan khinzir liar bagi memastikan populasi haiwan itu kembali pulih dan terpelihara,” ujar beliau.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan turut mengambil langkah memenuhi permintaan pasaran dengan membenarkan enam syarikat mengimport daging khinzir dari luar negara.
Katanya, negara sumber import termasuk Denmark dan Norway dengan setiap syarikat dibenarkan membawa masuk dua kontena bagi menampung keperluan tempatan.
“Secara keseluruhannya kira-kira 10 kontena daging khinzir akan dibawa masuk setiap bulan untuk memenuhi permintaan pasaran,” tambahnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan tetap komited mempertahankan dan memperkukuh industri ternakan khinzir tempatan melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk penyediaan makanan ternakan kepada penternak kecil.
“Diharapkan langkah ini dapat membantu industri ternakan khinzir tempatan terus berkembang, di samping memastikan bekalan mencukupi dan harga lebih stabil untuk pengguna,” katanya.
