Jamdin Buyong Dinobat Tokoh Maal Hijrah Putatan 1448H

 

PUTATAN: Tokoh bahasa dan budayawan Sabah, Datuk Jamdin Buyong dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Daerah Putatan 1448H/2026M.

Sumbangan besarnya dalam bidang bahasa, sastera, sejarah, penyiaran, kebudayaan, pentadbiran awam serta pembangunan masyarakat Islam di Sabah melayakkan beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Daerah Putatan 1448H/2026M.

Pengiktirafan itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya sempena Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026 Peringkat Daerah Putatan yang berlangsung di Dewan Sri Putatan, pada Jumaat.

Jamdin melahirkan rasa syukur atas pengiktirafan yang diterimanya, lebih-lebih lagi apabila anugerah tersebut diiktiraf oleh masyarakat daerah kelahirannya sendiri.

"Saya berasa syukur Alhamdulillah. Walaupun sebelum ini saya pernah menerima Anugerah Khas Maal Hijrah Peringkat Negeri pada 2016, namun penghargaan daripada daerah kelahiran sendiri amat saya hargai.

"Sambutan Maal Hijrah bukan sekadar memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah, sebaliknya membawa mesej yang lebih luas mengenai perubahan nilai kehidupan ke arah yang lebih baik.

"Pada masa kini, hijrah bukan lagi semata-mata berpindah dari satu tempat ke satu tempat, tetapi bagaimana kita berhijrah dari segi pemikiran, nilai kehidupan dan pembangunan masyarakat," katanya ketika ditemui media selepas majlis berkenaan di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, konsep hijrah juga berkait rapat dengan pembinaan tamadun dan masyarakat madani yang bukan sahaja menitikberatkan aspek pembangunan material, malah turut memberi penekanan kepada pembangunan rohani dan kesejahteraan insan.

"Jika masyarakat luar bandar turut menikmati kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan infrastruktur yang baik, itulah antara ciri masyarakat yang bertamadun dan madani sebagaimana yang dituntut dalam konsep hijrah," jelas Jamdin.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Pengarah Muzium Sabah dan Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.

Selain aktif dalam pentadbiran awam, beliau turut dikenali sebagai penulis prolifik yang menghasilkan pelbagai karya berkaitan sejarah, bahasa dan kesusasteraan. Antara karya yang pernah dihasilkannya ialah Perjuangan Peribumi Menentang Penjajah, Perjuangan Kemerdekaan di Sabah: Satu Kesinambungan Cetusan, Dayang Masniah dan Rona-rona Bahasa, yang menerima Anugerah Buku Umum Terbaik pada tahun 2017.

Beliau turut menerima pelbagai pengiktirafan atas sumbangannya dalam bidang bahasa, sastera dan pembangunan masyarakat, antaranya Anugerah Khas Maal Hijrah Sabah 1438H, Anugerah Bakti Sastera GAPENA 2023 serta Anugerah Tokoh Pejuang Sastera Negeri Sabah 2024.

Terdahulu, majlis sambutan yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu dihadiri kira-kira 3,000 masyarakat dari sekitar daerah Putatan. Majlis berkenaan diserikan dengan ceramah khas Maal Hijrah yang disampaikan pendakwah dan selebriti nasyid terkenal, Ustaz Nabil Ahmad, selain persembahan nasyid oleh Kumpulan Infaq.

Turut hadir Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya serta Pegawai Daerah Putatan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Daerah Putatan, Masawi Salleh.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!