Dua warga asing ditahan disyaki terbabit hasilkan bom ikan

Antara bahan dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk membuat bom ikan yang dirampas dalam serbuan di dua buah rumah di Kampung Hidayat, Pulau Bum Bum, dekat sini semalam. Foto | Ihsan PDRM.

SEMPORNA : Polis menahan dua warga asing yang disyaki terbabit dalam kegiatan menghasilkan bom ikan dalam serbuan di dua rumah di Kampung Hidayat, Pulau Bum Bum, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna Supt Tan Hiap Wah berkata seorang lelaki berusia 25 tahun dan seorang wanita berusia 24 tahun ditahan dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 11 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna bersama Balai Polis Pulau Bum Bum.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di kedua-dua rumah tidak bernombor itu menemukan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan bahan letupan bagi tujuan pengeboman ikan.

"Serbuan dijalankan hasil maklumat dan risikan berkaitan aktiviti menghasilkan bom ikan di kawasan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan menemukan pelbagai peralatan yang disyaki digunakan dalam kegiatan itu sebelum kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurutnya, kedua-dua suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki tidak memiliki pas atau permit sah untuk berada di negara ini.

Beliau berkata polis memandang serius kegiatan pengeboman ikan kerana ia bukan sahaja membahayakan nyawa manusia, malah boleh menyebabkan kerosakan serius terhadap ekosistem marin dan sumber perikanan.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan berkenaan supaya menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha penguatkuasaan dan pembanterasan aktiviti berkenaan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!