Kadar Penagih, Penyalah Guna Dadah Sabah Turun 5.9 Peratus

 

KOTA KINABALU : Sabah merekodkan penurunan sebanyak 5.9 peratus kadar penagih dan penyalah guna dadah atau bahan pada 2025, sekali gus mencatatkan prestasi terbaik di negara ini dengan nisbah 230 penagih bagi setiap 100,000 penduduk.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata jumlah individu yang dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan bahan menurun kepada 8,665 orang pada 2025 berbanding 9,207 orang pada tahun sebelumnya.

"Pencapaian ini membuktikan keberkesanan tindakan bersepadu pelbagai pihak dalam membendung penawaran dan permintaan terhadap dadah serta bahan terlarang di negeri berkenaan.

"Ia mencerminkan komitmen tinggi agensi penguat kuasa, kerajaan negeri, pemimpin komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat dalam memastikan usaha pencegahan serta pemulihan dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri Sabah Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, di sini pada Isnin.

Ruslin berkata mesyuarat itu turut meluluskan dua kertas pertimbangan strategik yang dibentangkan oleh AADK dan SKUAD Antidadah Negeri Sabah, melibatkan perluasan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) bagi sektor awam negeri serta pemerkasaan SKUAD Antidadah Membangun Komuniti Berdaya Tahan.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan bertujuan memastikan momentum penurunan kadar penyalahgunaan dadah dapat dikekalkan dan dipertingkatkan ke arah mencapai sasaran Dadah Terkawal 2030.

"Langkah baharu ini merupakan strategi penting bagi memperkukuhkan benteng komuniti serta memperluaskan kempen pendidikan pencegahan dan kesedaran awam mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.

"AADK turut berhasrat membudayakan penolakan terhadap dadah bukan sahaja di tempat kerja, malah dalam komuniti dan institusi keluarga kerana pencegahan yang berkesan perlu bermula dari akar umbi," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah atas sokongan berterusan terhadap pelaksanaan Program Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD) yang kini memberi tumpuan kepada dua lokaliti perintis, iaitu Kampung Likas di Kota Kinabalu dan Kampung Benoni di Papar.

Ruslin berkata program itu merupakan antara pendekatan intervensi komuniti yang mampu membentuk persekitaran selamat, sihat dan bebas daripada ancaman penyalahgunaan dadah menerusi penglibatan aktif penduduk setempat.

Menurut beliau, usaha berkenaan turut diperkukuhkan melalui Program SKUAD Antidadah Bersatu Lawan Najis Dadah yang membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan komuniti dalam menangani isu dadah secara holistik.

Beliau turut memaklumkan bahawa AADK sedang giat melaksanakan Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) di seluruh negara menerusi model tindakan strategik dua hala yang menggabungkan pendekatan “Top-Down” dan “Bottom-Up”.

Menurutnya, program berskala besar itu bertujuan memastikan dasar, program serta mesej pencegahan dapat disampaikan secara menyeluruh kepada masyarakat.

"Pendekatan ini dirangka untuk memobilisasikan komuniti secara menyeluruh serta membina benteng pertahanan sosial bermula daripada institusi keluarga bagi mengurangkan kebergantungan dan permintaan terhadap bahan terlarang," jelasnya.

Ruslin berkata AADK yakin komitmen yang ditunjukkan kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah akan terus menghasilkan keputusan yang konstruktif, praktikal dan berimpak tinggi bagi memastikan Sabah kekal sebagai negeri yang selamat serta bebas daripada ancaman dadah.

Turut hadir pada mesyuarat itu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab serta ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!