Umat Islam Diseru Perkukuhkan Silaturrahim, Persefahaman - Samad

 

BELURAN : Umat Islam di Kampung Pulau Keniogan diseru agar terus memperkukuhkan silaturrahim serta persefahaman dalam kalangan penduduk.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Samad Jambri berkata, Sambutan Maal Hijrah 1448H merupakan hari untuk memperingati peristiwa besar dalam sejarah agama untuk menyatukan perpaduan dan syiar Islam.

"Hari ini adalah membuka satu lembaran baru kepada kita khususnya umat Islam di mana sambutan setiap kali sambutan Maal Hijrah ini tidak lari daripada memperingati satu peristiwa besar iaitu hijrah Rasulullah SAW daripada Mekah ke kota Madinah atas perintah wahyu, penghijrahan untuk memperkembangkan syiar Islam.

"Jadi itulah yang kita sambut setiap tahun seluruh umat Islam bukan saja di Kampung Keniogan, di daerah Beluran tapi Negeri Sabah, di Malaysia dan malah di seluruh dunia memperingati tentang bagaimana sejarah sirah Rasulullah SAW berkenaan hijrahnya daripada Mekah ke kota Madinah.

"Jauh di sudut itu, kita mengambil kira tentang pengisian-pengisian yang dilakukan dan kita berharap dengan semangat sambutan Maal Hijrah pada tahun 1448 Hijrah ini, sekali lagi saya mengajak kepada tuan-tuan dan puan-puan, marilah kita terus memperkukuhkan semangat persefahaman di kalangan kita, khususnya masyarakat penduduk kampung di Kampung Keniogan ini," ujarnya ketika berucap merasmikan Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Kampung Pulau Keniogan bertemakan "MADANI Dihayati, Ummah Diberkati" di sini, pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk turut menyeru agar seluruh masyarakat kampung dan kawasan sekitarnya terus memperkukuh semangat persaudaraan tanpa mengira latar belakang.

"Proses pilihan raya sudah berlalu, itu satu proses yang kita akur. Namun selepas itu, kita perlu kembali kepada matlamat asal kita iaitu mempersatukan dan mempereratkan persefahaman sesama kita," jelasnya.

Dalam majlis tersebut,  Samad turut mengumumkan beberapa perancangan yang sedang dirangka untuk membawa pembangunan fizikal dan kesejahteraan komuniti di pulau berkenaan. 

Beliau turut menyampaikan anugerah kepada tokoh Maal Hijrah iaitu mantan Imam Rawatib, Azmi Madlis dan mantan Qariah peringkat bahagian Kasmawaty Maming, di samping hadiah kepada pemenang pertandingan nasyid, kuiz agama dan sepanduk.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pegawai Daerah Roger Appolonius, Pegawai Kemajuan Masyarakat DUN Labuk Ramadan Langgian, Pegawai Kebajikan Daerah Awang Shahrin Abdul Sali, Pegawai Penerangan Daerah Zuraidah Ahmad dan Ketua Komuniti Madani Mohammad Sapperi Akli.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!