Jamawi, Ruji dan Yamani perkukuh Biro Politik KEADILAN Sabah

KOTA KINABALU: KEADILAN Sabah memperkukuhkan barisan kepimpinan politiknya apabila melantik Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar bersama Datuk Ruji Ubi dan Datuk Yamani Hafez Musa sebagai Ahli Biro Politik (Biropol) Majlis Pimpinan Negeri (MPN) parti itu.

Pelantikan tiga tokoh berpengalaman itu dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuhkan peranan Biro Politik dalam merangka hala tuju dan strategi KEADILAN Sabah menjelang perkembangan politik yang semakin dinamik di negeri ini.

Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Farid Sainuri berkata, pelantikan berkenaan dipersetujui dalam mesyuarat MPN KEADILAN Sabah sebagai sebahagian usaha memperkasa struktur organisasi parti.

Menurutnya, pengalaman luas serta pengaruh yang dimiliki ketiga-tiga pemimpin terbabit diyakini mampu menyumbang kepada pengukuhan parti, khususnya dalam aspek perancangan strategik dan pembangunan organisasi.

"Pelantikan ini diyakini akan memperkukuhkan lagi fungsi Biro Politik dalam memberikan pandangan strategik serta membantu memperkemas hala tuju parti di Sabah," katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata, penambahbaikan struktur kepimpinan itu dibuat bagi memastikan KEADILAN Sabah terus berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran politik semasa dan akan datang.

Dalam perkembangan sama, Farid berkata, MPN KEADILAN Sabah turut membuat beberapa pelantikan lain termasuk melantik Patrict Sulaiman sebagai Ketua Cabang Tuaran yang baharu dan Arastam Pandorog sebagai Ketua Cabang Semporna.

Selain itu, katanya, Ketua Cabang Tawau, Fung Thien Yin turut dilantik sebagai Naib Pengerusi MPN III bagi mewakili Zon Tawau.

Menurutnya, langkah berkenaan bertujuan memperkukuhkan representasi kepimpinan mengikut zon selain memastikan suara akar umbi terus diberi perhatian dalam proses membuat keputusan parti.

Dalam pada itu, beliau berkata, KEADILAN Sabah turut menyatakan komitmen untuk membantu gerak kerja pilihan raya negeri di Johor dan Negeri Sembilan dengan menghantar pasukan sukarelawan bagi membantu kempen dan jentera parti di kedua-dua negeri berkenaan.

"KEADILAN Sabah percaya kekuatan parti terletak pada kesatuan, disiplin organisasi dan kesediaan seluruh anggota untuk berkhidmat di mana sahaja diperlukan," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama