TAWAU: Isu pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Sabah boleh dibawa sehingga ke peringkat Jawatankuasa Induk Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri sekiranya gagal diselesaikan menerusi sesi libat urus semasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah ketika ini sedang memperhalusi pelaksanaan akta berkenaan melalui beberapa siri perbincangan bersama agensi berkaitan.
Katanya, pendekatan libat urus membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia dan kerajaan negeri amat penting bagi memastikan pelaksanaan AKPS berjalan secara harmoni serta mengambil kira pandangan semua pihak.
“Kalau isu ini masih tidak dapat diselesaikan di peringkat libat urus, kita akan bawa ke Jawatankuasa Teknikal MA63 dan seterusnya jika masih ada isu, ia akan diangkat ke Jawatankuasa Induk MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri.
“Kita mahu semua perkara ini diselesaikan secara baik melalui perbincangan,” katanya selepas menghadiri Taklimat Pembangunan Infrastruktur Utama Daerah Tawau di Majlis Perbandaran Tawau (MPT), semalam.
Menurutnya, penangguhan pelaksanaan AKPS oleh kerajaan negeri bukan bermaksud Sabah menolak akta berkenaan, sebaliknya memberi ruang kepada proses penambahbaikan dan penyelarasan semula pelaksanaannya.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan menghormati pandangan kerajaan negeri dan rakyat Sabah, khususnya berkaitan hal ehwal imigresen yang turut termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perlembagaan Persekutuan.
“Apa yang penting sekarang ialah proses libat urus bagi memperkemaskan pelaksanaan akta ini,” katanya.
Mustapha berkata, beberapa sesi perbincangan sudah diadakan dan usaha itu akan diteruskan bagi memastikan semua isu dapat diselesaikan secara menyeluruh.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan sebarang pelaksanaan dasar atau akta tidak menjejaskan autonomi Sabah dan Sarawak dalam perkara berkaitan imigresen.
Katanya, kemungkinan terdapat beberapa pindaan lanjut diperlukan bagi memastikan AKPS selari dengan semangat MA63 serta keperluan semasa pengurusan sempadan negara.
Pada 13 Mei lalu, Kerajaan Negeri Sabah memutuskan untuk menangguhkan dasar dan pelaksanaan AKPS di negeri itu sehingga terdapat jaminan bahawa tiada penghakisan terhadap hak istimewa serta kuasa autonomi imigresen Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah meneliti isu semasa berkaitan pelaksanaan AKPS.
Menurutnya, kerajaan negeri mendapati terdapat elemen penghakisan kuasa dan hak keistimewaan imigresen Sabah dari segi aspek perundangan serta pengoperasian imigresen di bawah pelaksanaan agensi berkenaan.
Beliau berkata, pelaksanaan AKPS akan mengambil alih peranan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di pintu masuk negeri itu, sedangkan pihak berkuasa negeri tidak mempunyai kuasa langsung terhadap agensi berkenaan.
Justeru, katanya, kerajaan negeri mahu jaminan yang jelas supaya hak serta autonomi Sabah seperti yang termaktub dalam MA63 terus dipelihara.
