Inspektor dilepas dan dibebaskan tiga pertuduhan rasuah

TAWAU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor tanpa dipanggil membela diri daripada tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah membabitkan RM41,000 selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Hakim Ahmad Faizhad Yahaya membuat keputusan itu terhadap Saharulzaman Alizaman, 42, di akhir kes pendakwaan selepas mendapati keterangan saksi pendakwaan tidak menunjukkan adanya bukti yang dapat menyokong dakwaan bahawa tertuduh meminta dan menerima wang bagi tujuan rasuah.

Dalam penghakimannya, beliau berkata mahkamah turut mendapati percanggahan antara keterangan pengadu dengan saksi mata merupakan perkara serius yang menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.

Beliau berkata tindakan pegawai penyiasat yang gagal mendapatkan penjelasan berhubung percanggahan tersebut walaupun telah mengetahuinya lebih awal menunjukkan kecuaian dalam siasatan dan sekali gus menjejaskan kes pendakwaan.

Justeru katanya, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan tanpa dipanggil membela diri serta wang jaminan dikembalikan. 

Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.

Saharulzaman, yang ketika kejadian bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen Tawau pada 8 Julai 2022.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suapan RM20,000 daripada seorang lelaki berusia 26 tahun di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, IPD Lahad Datu, antara jam 1.15 tengah hari hingga 4 petang pada 16 Ogos 2017 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap individu berkenaan yang disyaki menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa meminta RM4,000 daripada individu sama sebagai wang perlindungan bagi melindungi kegiatan pinjaman wang tanpa lesen itu.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Saharulzaman didakwa menerima suapan RM17,000 daripada individu sama di dalam sebuah kereta Perodua Alza di kawasan Double Bay, Lahad Datu, antara jam 3.09 petang hingga 4 petang pada tarikh yang sama.

Bagi dua pertuduhan meminta rasuah, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala pertuduhan menerima rasuah dibuat mengikut Seksyen 17(a) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah, Wardah Ishhar, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama