KOTA KINABALU: Dua individu disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah kerana gagal mematuhi award yang dikeluarkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), membuktikan ketegasan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah dalam melindungi hak pengguna.
Jumlah keseluruhan award tribunal yang gagal dipatuhi dalam kedua-dua kes itu adalah sebanyak RM41,920.
Dalam prosiding berasingan yang berlangsung pada 16 Jun lalu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana gagal mematuhi award tribunal dalam tempoh yang ditetapkan.
Bagi kes pertama di Mahkamah Majistret 1 Kota Kinabalu, Noor Farizzah Usman, 36, mengaku bersalah kerana gagal mematuhi Award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia bertarikh 28 Oktober 2025 yang mengarahkan beliau membayar RM16,920 kepada pihak yang menuntut.
Mahkamah yang dipengerusikan Majistret Dzul Elmy Yunus menjatuhkan hukuman denda RM1,800 atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.
Tertuduh bagaimanapun gagal menjelaskan denda yang dikenakan dan telah dihantar ke penjara bagi menjalani hukuman yang diperintahkan mahkamah.
Dalam kes kedua di Mahkamah Majistret 2 Kota Kinabalu, Mad Mohammad Yassin, 71, mengaku bersalah kerana gagal mematuhi award tribunal bertarikh 27 Oktober 2025 yang mengarahkan beliau membayar RM25,000 kepada pihak yang menuntut.
Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.
Tertuduh bagaimanapun telah menjelaskan denda yang dikenakan oleh mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN, Gunasegaran Krishnan dan Malai Rosidi Malai Muhamad, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 memperuntukkan bahawa mana-mana pihak yang gagal mematuhi award tribunal melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, kejayaan pendakwaan itu membuktikan komitmen berterusan kementerian dalam memastikan setiap award yang dikeluarkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia dipatuhi sepenuhnya.
“Tindakan pendakwaan akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang ingkar atau gagal mematuhi award tribunal bagi memastikan hak pengguna sentiasa terpelihara dan keadilan dapat ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menggesa orang ramai yang berdepan masalah ketidakpatuhan award tribunal supaya menyalurkan maklumat dan aduan kepada KPDN bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
