SEMPORNA: Cubaan dipercayai menyeleweng minyak diesel bersubsidi berjaya dipatahkan apabila sebanyak 675 liter bahan api itu dirampas dalam satu operasi di Jeti Kampung Air Pekan Semporna, semalam.
Rampasan tersebut merupakan hasil operasi yang dijalankan oleh Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak sebelum kes berkenaan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna untuk tindakan lanjut.
Dalam kenyataan hari ini, KPDN memaklumkan turut dirampas sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran serta sebuah enjin sangkut jenama Yamaha berkuasa 40 kuasa kuda (HP).
Menurutnya, seorang lelaki yang merupakan pemegang sijil lahir turut ditahan selepas gagal mengemukakan kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan bagi memiliki atau menyimpan barang kawalan berkenaan.
“Nilai rampasan barang kawalan dianggarkan berjumlah RM2,646, manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk barang bukan kawalan dianggarkan RM5,244.40,” menurut kenyataan itu.
Susulan itu, KPDN Semporna telah membuka satu kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan selanjutnya.
KPDN berkata, pihaknya akan terus memperkukuhkan penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dalam usaha membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi di daerah Semporna dan kawasan perairan sekitarnya.
Dalam pada itu, KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat agar sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurutnya, individu yang disabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
“Bagi kesalahan berikutnya, denda boleh mencecah sehingga RM3 juta.
“Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya jika disabitkan kesalahan,” katanya.
