![]() |
| Armizan ketika ditemui pemberita pada Sidang Media Sempena Program Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) @KFC, pada Ahad. |
KOTA KINABALU: Permohonan rasmi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka akan dipertimbangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang dijadual berlangsung pada 18 Jun ini.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya kini sedang melaksanakan sesi libat urus bersama kepimpinan UPKO bagi mendapatkan maklumat tambahan sebelum kertas pertimbangan berhubung permohonan itu dibentangkan kepada Majlis Tertinggi GRS.
Menurutnya, permohonan rasmi UPKO telah dikemukakan pada 29 Mei lalu oleh Presidennya, Datuk Ewon Benedick kepada Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
"Saya sedang mengumpulkan maklumat tambahan berkaitan UPKO termasuk jumlah cawangan, keahlian dan kekuatan parti untuk dimasukkan dalam kertas pertimbangan yang akan dibentangkan kepada Majlis Tertinggi GRS.
"Kita menjadualkan mesyuarat itu pada 18 Jun dan diharapkan keputusan mengenai permohonan UPKO dapat dibuat dalam mesyuarat berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Sempena Program Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) @KFC, pada Ahad.
Armizan berkata, GRS melihat hasrat UPKO untuk menyertai gabungan itu sebagai satu perkembangan positif dalam usaha memperkukuh penyatuan parti-parti tempatan di Sabah.
Katanya, UPKO bukan parti baharu dalam landskap politik negeri kerana mempunyai legasi perjuangan yang panjang khususnya dalam memelihara hak dan kepentingan Sabah.
"UPCO mempunyai legasi perjuangan yang cukup panjang, khususnya dalam konteks memelihara hak dan kepentingan negeri.
“Kita juga melihat bahawa UPKO dan GRS mempunyai matlamat perjuangan yang hampir serupa," jelasnya.
Beliau turut menyifatkan sokongan yang diberikan UPKO kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini sebagai antara petunjuk keikhlasan parti itu untuk bekerjasama dengan GRS.
Bagaimanapun, beliau menegaskan mana-mana parti yang ingin menyertai GRS perlu berpegang teguh kepada empat teras perjuangan gabungan itu iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.
Beliau turut menambah bahawa GRS akan menilai kekuatan sesebuah parti berdasarkan sokongan rakyat, rekod pilihan raya, struktur organisasi serta kemampuan menyumbang kepada agenda pembangunan negeri.
"Kita mahukan rakan gabungan yang mampu memberikan nilai tambah kepada perjuangan GRS dan bukannya sekadar menjadi penumpang dalam gabungan ini," ujarnya.
Ketika ditanya mengenai keyakinan GRS dalam kemasukan UPKO, beliau berkata bahawa UPKO mempunyai kekuatan serta sejarah perjuangan tersendiri.
“Dalam setiap pilihan raya yang disertainya, parti itu bukan sahaja memenangi kerusi tertentu, malah turut memperoleh jumlah undi yang signifikan, sebab itu kita melihat adalah baik untuk merangkul mereka bersama dalam GRS.
"Tambahan pula, kita dapat melihat bahawa konsep 'Sabah First' yang sering dibawa oleh UPKO sebelum ini juga selari dengan salah satu teras utama perjuangan GRS," tambah beliau.
.png)