DBKK roboh 13 lagi rumah setinggan belakang Alamesra

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus mempergiat operasi membanteras pencerobohan tanah kerajaan apabila merobohkan 13 lagi struktur setinggan haram di kawasan belakang Alamesra, Likas, pada Jumaat lalu.

Operasi bersepadu yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang itu membabitkan kawasan penempatan di rizab hutan bakau dan pesisir sungai yang dikenal pasti berkembang secara tidak terkawal sehingga menimbulkan pelbagai risiko kepada keselamatan awam serta alam sekitar.

DBKK dalam kenyataannya memaklumkan, hasil bancian yang dijalankan Bahagian Perobohan dan Struktur Haram mendapati terdapat 101 rumah dibina di kawasan penempatan mangsa kebakaran Kampung Cenderamata 2, Likas.

Selain itu, katanya, sebanyak 150 struktur setinggan turut dikenal pasti di kawasan bakau belakang Alamesra yang sebahagian besarnya didiami penghuni bukan warganegara.

Menurutnya, notis pengosongan, pengalihan dan perobohan sudah diserahkan kepada penghuni terbabit pada 13 April lalu dengan tempoh pematuhan selama 14 hari sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

"Tempoh itu diberikan bagi membolehkan penghuni mengosongkan premis secara sukarela sebelum operasi perobohan dijalankan.

"Operasi ini adalah sebahagian usaha berterusan bagi mengembalikan fungsi asal tanah kerajaan yang diceroboh selain melindungi kawasan sensitif alam sekitar serta memastikan pembangunan bandar raya berjalan secara teratur dan mematuhi undang-undang," katanya.

Operasi bersepadu itu membabitkan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan DBKK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU).

Menurut DBKK, dengan perobohan terbaharu itu, jumlah keseluruhan struktur yang sudah dirobohkan setakat 19 Jun lalu meningkat kepada 38 rumah.

Katanya, sebanyak 112 lagi struktur setinggan dikenal pasti untuk tindakan penguatkuasaan seterusnya.

"Langkah ini bukan sekadar operasi perobohan, sebaliknya usaha strategik bagi memastikan tanah kerajaan tidak terus diceroboh, memelihara kawasan rizab alam sekitar serta mengurangkan risiko kebakaran dan jenayah.

"DBKK tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang membina, menduduki atau melindungi struktur haram di atas tanah kerajaan," katanya.

Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan berjalan lancar, terkawal dan tanpa sebarang insiden tidak diingini.

DBKK turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan selaras dengan dasar Kerajaan Negeri Sabah dalam membanteras penempatan setinggan dan mengembalikan penguasaan tanah kerajaan kepada tujuan yang sah.

"Tiada kompromi terhadap pencerobohan tanah kerajaan dan struktur haram," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!